PLKN dicadang untuk dihidupkan semula

PLKN dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018. Gambar fail. - Foto Bernama
PLKN dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018. Gambar fail. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi membolehkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihidupkan semula pada masa depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PLKN dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas sebab-sebab tertentu.

Menurutnya, disebabkan kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja yang menyertai program berkenaan, maka Kementerian Pertahanan akan mencadangkan kepada Kabinet agar program ini dilaksanakan semula.

“YB Arau pula membangkit isu jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak mereka dan mencadangkan diserapkan dalam perkhidmatan di kementerian atau agensi kerajaan yang lain.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan pelantikan kontrak secara ‘soft landing’ kepada 1,394 orang bekas pegawai lantikan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

"Mereka ditempatkan di pelbagai agensi, kementerian bagi tempoh satu tahun mulai 2019 sehingga 2020,” katanya dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bertanyakan kenapa program PLKN dihentikan dan mencadangkan program itu dapat diteruskan semula serta nasib kakitangan dan jurulatih PLKN dibela selepas program berkenaan dimansuhkan PH.

Katanya, pelantikan itu bertujuan memberi peluang kepada pegawai terlibat untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain.

Artikel Berkaitan:

“Bagi cadangan YB Arau supaya pegawai ini diserapkan ke dalaman kementerian atau agensi kerajaan yang lain, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik," katanya.

Sementara menjawab isu dibangkitkan, Ahmad Fadhil Shaari (Pas-Pasir Mas) mengenai status perolehan enam aset Littoral Combat Ship (LCS) atau kapal tempur pesisir pantai, Ismail mengesahkan secara keseluruhannya pembinaan sudah mencapai 57.01 peratus berbanding perancangan asal sepatutnya 90.11 peratus iaitu kelewatan sebanyak 33.10 peratus.