X

Kindly register in order to view this article
!

Ada tokoh besar UMNO cuba pecah belah sokongan Melayu

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal membidas sikap segelintir pemimpin besar UMNO cuba bermain api dan memecahbelahkan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sebarang usaha menggagalkan usul Belanjawan 2021 ketika ini bukan disebabkan oleh kandungan inti patinya, namun sebahagian agenda peribadi melibatkan beberapa tokoh besar UMNO yang mempunyai pengaruh terhadap masyarakat Melayu.

Menurutnya, perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin UMNO turut membuktikan ada pemimpin parti itu tidak merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dengan mereka sepatutnya berbincang dan membuat keputusan mengambil kira kepentingan rakyat.

"Usul Belanjawan 2021 sudah mencakupi semua keperluan, kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi dengan nilai keseluruhan RM322.5 bilion dianggap satu perbelanjaan berani pada saat ekonomi negara tidak memberangsangkan.

"Pada saya, kalau berlaku penolakan usul Belanjawan 2021, hal itu bukan kerana inti patinya, tetapi ada agenda lain ditimbulkan orang besar dalam politik khususnya UMNO.

"Mereka merupakan tokoh besar yang cuba bermain api untuk memecahkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu kepada kerajaan PN, walhal kerajaan inilah yang berjaya meredakan keresahan masyarakat kaum itu daripada polemik perkauman dimainkan kerajaan PH (Pakatan Harapan) selama 22 bulan," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas tindakan pengedaran surat kiriman Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kepada 220 ahli Parlimen bertajuk Usul Tidak Percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Dewan Rakyat sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam.

Terdahulu, Tengku Razaleigh atau Ku Li yang merupakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO memaklumkan, tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun enggan meluluskan usul penentuan kepercayaan terhadap Muhyiddin.

Bekas Menteri Kewangan itu menyampaikan hasrat itu kepada Azhar Azizan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November lalu.

Lebih menarik, Ahmad Zahid turut melaungkan pendirian sama dengan Ku Li apabila meminta Muhyiddin membuktikan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadapnya terlebih dahulu melalui undi penentuan kepercayaan sebelum undi belah bahagi usul Belanjawan 2021 dibuat.

Berikutan itu, Syed Abu Hussin menasihati UMNO untuk membuat keputusan bersama dalam meluluskan Belanjawan 2021 yang amat diperlukan rakyat pada saat kritikal akibat kegawatan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Beliau juga mengingatkan UMNO supaya tidak mengulangi perangai lama yang menjadi punca kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga menyebabkan rakyat meluat dan tidak puas hati.

"UMNO kena ingat, dengan terbentuk kerajaan PN, sokongan rakyat terhadap UMNO juga kembali pulih.

Adakah UMNO mahu mengulangi kekalahan pada PRU15 memandangkan rakyat sudah pandai menilai dan memilih?

"Kerajaan PN terbukti 'perform' sewaktu mendepani kegawatan pandemik Covid-19, malahan kerajaan PN terbukti diterima rakyat Sabah pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, apa masalah untuk pastikan usul Belanjawan 2021 diluluskan?

"Saya melihat secara umum, perbezaan pendapat dalam kalangan ahli Parlimen UMNO berlaku. Namun sebagai sebahagian daripada parti menyokong kerajaan, mereka kena buat satu pendirian konkrit dengan sebarang tuntutan sepatutnya boleh dirunding secara dalaman," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!