Serangan pengganas punca letupan tangki minyak di Jeddah

Serangan pengganas dikatakan punca kebakaran sebuah tangki minyak di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah. Gambar fail. - Foto Reuters
Serangan pengganas dikatakan punca kebakaran sebuah tangki minyak di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah. Gambar fail. - Foto Reuters
A
A
A

ISTANBUL - Kebakaran di sebuah tangki minyak di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah berpunca daripada 'serangan pengganas', seorang pegawai mengesahkan pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

"Pada jam 3.50 pagi (waktu tempatan) semalam, berlaku satu letupan menyebabkan kebakaran di tangki minyak di stesen pengedaran produk petroleum di utara bandar Jeddah," kata Agensi Berita Arab Saudi (SPA) memetik seorang pegawai Kementerian Tenaga.

Beliau menambah pasukan bomba berjaya memadamkan api dan tiada korban dilaporkan.

Bagaimanapun, sumber itu tidak menuduh mana-mana kumpulan melakukan serangan itu.

Pegawai itu juga mengesahkan letupan tidak mengganggu pengedaran bekalan minyak dari stesen kepada pelanggan.

Sebelum itu, jurucakap Houthi, Yahya Saree, mengatakan kumpulannya membedil stesen pengedaran syarikat minyak milik negara Arab Saudi, Aramco di Jeddah.

“Kegiatan pengganas dan gangguan terhadap kemudahan penting bertujuan menyasarkan keselamatan dan kestabilan pengagihan bekalan tenaga global dan ekonomi dunia," tambah pegawai Saudi itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: