Emosi kanak-kanak kes tertusuk pisau stabil

Wan Norashikin (kanan) menunjukkan kenderaan yang digunakan Kembara Prihatin Negara (KPN) di peringkat negeri Perak.
Wan Norashikin (kanan) menunjukkan kenderaan yang digunakan Kembara Prihatin Negara (KPN) di peringkat negeri Perak.
A
A
A

PASIR SALAK - Keadaan emosi kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam tragedi tertusuk pisau hingga mengakibatkan kematian seorang budak lelaki di Taman Cempaka Kampung Koh, Sitiawan pada 13 November lalu semakin stabil.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, perkembangan itu dicapai hasil pemerhatian pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi sesi kaunseling yang diadakan sebelum ini.

Menurutnya, kanak-kanak berusia 12 tahun itu sudah pun melalui dua sesi kaunseling dan semakin menunjukkan perkembangan emosi yang positif.

"JKM bukan sahaja menyediakan kaunseling tetapi juga sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak itu dan ahli keluarga lain.

"Selepas dua sesi ini, kita nampak keadaannya bertambah baik," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pertemuan seterusnya bergantung kepada keperluan kanak-kanak itu dan kebenaran daripada keluarganya.

"Apabila ada keperluan JKM akan turun lagi (kaunseling)," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, persiapan menyambut perayaan Deepavali sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang budak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas secara tidak sengaja tertusuk pisau dipegang kakak sepupunya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai J Adithiyan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Manjung.

Terdahulu, Wan Norashikin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah merasmikan Kembara Prihatin Negara (KPN) peringkat Negeri Perak di ruang legar Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.

Mengulas program berkenaan, beliau berkata, kembara yang berkonsepkan turun padang itu melibatkan setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang akan menjelajah ke lokasi dijadualkan setiap minggu.

Katanya, antara aktiviti dilaksanakan ialah pembukaan kaunter perkhidmatan dan aduan pelanggan bagi memudahkan mereka yang memerlukan, agihan bakul makan dan menyantuni kes kebajikan selain menjalankan aktiviti di pasar malam, pagi serta pasar tani, taman perumahan, kompleks niaga dan pusat komuniti setempat.

"Perak telah mensasarkan 40 jelajah diadakan di setiap kawasan DUN pada setiap bulan sehingga hujung tahun hadapan.

"Bagi November hingga Disember ini sebanyak 74 lokasi sudah dikenal pasti di seluruh negeri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut tertusuk pisau di dada

Polis siasat insiden kanak-kanak maut tertusuk pisau