125 hektar kawasan padi musnah ditenggelami banjir

Abdul Yunus (empat dari kanan) meninjau kawasan tanaman padi yang tenggelam akibat banjir di Bagan Serai bersama agensi berkaitan semalam.
Abdul Yunus (empat dari kanan) meninjau kawasan tanaman padi yang tenggelam akibat banjir di Bagan Serai bersama agensi berkaitan semalam.
A
A
A

IPOH - Kawasan tanaman padi seluas 125 hektar di Bagan Serai musnah selepas ditenggelami banjir yang berlaku sejak minggu lalu.

Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, kebanyakan padi yang tenggelam itu berusia di antara 15 hingga 40 hari dan menjejaskan pendapatan kira-kira 75 petani di kawasan tersebut.

Menurutnya, sehingga semalam, tujuh lokasi penanaman padi dikenalpasti terlibat dengan bencana banjir tersebut iaitu Parit Air Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit 1 Padang Lalang, Parit 2 Padang Lalang, Parit 3 Alor Setanggok, Parit 4 Alor Setanggok dan Sungai Kepar.

"Petang semalam saya telah melakukan tinjauan bersama agensi berkaitan di lokasi yang terjejas. Sebagai tindakan segera, pihak Jabatan Pertanian Perak sedang melakukan bancian awal setiap lot yang terlibat bagi penyediaan permohonan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi

"Jabatan Pertanian serta agensi yang lain akan terus memantau keadaan semasa di kawasan penanaman padi kerana ramalan hujan dijangka akan berterusan pada minggu ini," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Abdul Yunus berkata, permohonan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi akan dibuat kepada pihak kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berdasarkan bancian yang dibuat.

Menurutnya, mana-mana pesawah yang mendapati kawasan tanaman mereka terjejas akibat banjir, laporan segera perlu dibuat kepada Jabatan Pertanian atau agensi yang berkaitan untuk tindakan susulan.

"Kita percaya banjir ini berpunca dari hujan lebat yang berterusan sejak 15 November lalu selain pelepasan air lebihan kolam Bukit Merah dan aras air sungai yang tinggi menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk itu, pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan pam-pam bergerak untuk mengurangkan kesan banjir," katanya.