SIP bantu pekerja diberhentikan kerja

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pekerja yang diberhentikan kerja serta-merta akan dibantu melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga enam bulan tertakluk syarat kelayakan caruman.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, bayaran elaun akan dibuat antara 80 peratus hingga 30 peratus daripada gaji akhir di bawah had gaji RM4,000.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia cukup memahami dan prihatin dengan permasalahan dihadapi pekerja diberhentikan kerja di negara kita.

"Contohnya, dalam isu Malindo Airways sehingga 15 November 2020, seramai 1,086 pekerja Malindo Airways telahpun mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan faedah SIP.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 749 penerima faedah telah menerima bantuan SIP berjumlah RM928,000. Baki pemohon masih dalam proses tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui langkah-langkah diambil kerajaan bagi membantu pekerja yang telah diberhentikan.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, SIP juga menyediakan bantuan lain seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan, Fi Latihan dan Faedah bantuan pencarian pekerjaan.

Menurutnya, pada masa sama, pekerja diberhentikan kerja, mereka boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan kerja.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes Malindo Airways, seramai 96 orang bekas pekerja telah berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan baharu melalui portal ini.

"Proses untuk membuat pemadanan dan carian pekerjaan untuk bekas pekerja Malindo Airways sedang giat diteruskan," katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia juga melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau HRDF mempunyai pelbagai inisiatif di bawah Penjana HRDF.