Dua suspek kes samun farmasi ditahan

Dua suspek samun ditahan di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini pagi tadi.
Dua suspek samun ditahan di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun sebuah farmasi di Jalan Gombak Setapak di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun ditahan pada jam 2 pagi di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini hari ini.

"Kita merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian samun di farmasi itu.

"Barangan kemas yang disamun telah dijual kepada pihak ketiga, kita sedang mengesan suspek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rajab berkata, semakan rekod jenayah mendapati salah seorang suspek mempunyai 21 rekod jenayah dan dadah.

"Rakan suspek pula mempunyai lima rekod jenayah dan juga dikehendaki bagi kes dadah," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, suspek telah mengaku terlibat beberapa kes samun dan curi dalam kenderaan di beberapa lokasi di Setapak dan Sentul.

"Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 8.47 malam itu, dua suspek melarikan dua utas rantai emas yang dipakai seorang wanita di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak di sini.

Mangsa sedang membuat pembayaran di kaunter farmasi terbabit sebelum seorang lelaki datang dari arah belakang menarik rantai emas dipakai wanita itu.