Tiada aktiviti pembalakan di hutan perlindungan, hutan simpan

Imej satelit antara Mei dan November 2020 yang dilampirkan oleh NGO-NGO tersebut dalam kenyataan mereka.
Imej satelit antara Mei dan November 2020 yang dilampirkan oleh NGO-NGO tersebut dalam kenyataan mereka.
A
A
A

ALOR SETAR - Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini menegaskan tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai hutan perlindungan atau Hutan Simpan Kekal di Kompleks Hutan Hulu Muda, Sik seperti didakwa beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, dua imej satelit yang didakwa memaparkan kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berhampiran Empangan Ahning di daerah Padang Terap tidak termasuk dalam Kawasan Kompleks Hutan Hulu Muda.

"Pihak NGO berkenaan seharusnya menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam kenyataan mereka dan tidak mencetuskan kekeliruan masyarakat. Hutan Simpan Bukit Keramat berada di bawah pentadbiran Jabatan Perhutanan Daerah Kedah Utara dengan keluasan 11,105 hektar dan telah diwartakan pada 17 Januari 2013.

"Kawasan hutan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan. Hutan Pengeluaran dengan keluasan 5,899 hektar yang boleh dikeluarkan hasilnya manakala Hutan Perlindungan yang seluas 5,206 hektar digazetkan sebagai kawasan hutan tadahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pejabat Menteri Besar Kedah lagi, Jawatan Kuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB) yang bersidang pada 1 Disember 2017 telah meluluskan kawasan seluas 1,400 hektar untuk aktiviti pembalakan manakala pada 14 Disember 2017, 380 hektar lagi diluluskan.

"Aktiviti pembalakan tidak dijalankan di kawasan yang digazet sebagai Hutan Perlindungan atau Hutan Simpan Kekal.

"Kawasan pembalakan yang menjadi fokus NGO berkenaan dalam kenyataan akhbar mereka melalui paparan imej satelit yang disebarkan adalah kawasan yang telah diluluskan secara sah melalui keputusan JTHB dalam mesyuarat bertarikh 1 Ogos 2017,"katanya.

Menurutnya, kawasan yang dipersetujui bagi ‘swapping’ dengan syarikat Tradewinds dan selepas diberikan kelulusan, hasil hutan di kawasan berkenaan perlu dikeluarkan sebelum penyerahan hak milik tanah kepada syarikat tersebut dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam mesyuarat pada 14 Disember 2017, JTHB telah meluluskan permohonan syarikat Rimba Inas Enterprise untuk menjalankan projek ladang hutan seluas 380 hektar.

Aktiviti pembalakan yang dijalankan di Hutan Simpan Bukit Keramat dilaksanakan secara tebang habis bagi tujuan ‘swapping’ untuk dijadikan tanah bermilik syarikat Tradewinds," katanya.

Jelasnya, kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos lalu yang memberi jaminan bahawa Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda akan dilindungi sebagai Kawasan tadahan tidak ada kaitan sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat sebagaimana kenyataan akhbar kumpulan NGO itu.

"Sehingga kini, tidak ada aktiviti pembalakan dijalankan di Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda dan tuduhan seolah-olah Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memungkiri jaminan yang telah diberikan tidak berasas sama sekali," katanya.

Terdahulu, beberapa NGO berkaitan alam sekitar iaitu Consumers’Association of Penang (CAP), GreenSmiths, MalaysianCave and Karst Conservancy (MCKC)PertubuhanPelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Kedah, SahabatAlam Malaysia (SAM), TreatEvery Environment Special (TrEES) dan WaterWatch Penang (WWP) terkejut danterkilan dengan pembalakan yang sedang giat dilaksanakan di kawasan KompleksHutan Ulu Muda.

Dakwa mereka, berdasarkan imej satelit, antara Mei dan November 2020, kira-kira 87 ekar (0.35 kilometer persegi) hutan semula jadi berdekatan Tasik Ahning, di Hutan Simpan Bukit Keramat telah ditebang, dibersihkan dan diteres.

NGO tersebut menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan selaras dengan jaminan Menteri Besar Kedah baru-baru ini bahawa kawasan Hutan Ulu Muda akandilindungi sebagai kawasan hutan tadahan air.