X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa banjir di Melaka berkurangan

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka terus mencatatkan pengurangan. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka terus mencatatkan pengurangan kepada 304 orang melibatkan 76 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 311 orang daripada 78 keluarga pada jam 8 malam tadi.

PPS yang terlibat adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal di Alor Gajah, SK Ayer Molek di Melaka Tengah, manakala SK Tehel, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen dan SK Parit Gantong di Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di SK Durian Tunggal kekal 13 orang daripada tiga keluarga, manakala di SK Ayer Molek, jumlah mangsa berkurang kepada 89 orang daripada 25 keluarga pagi ini berbanding 96 orang daripada 27 keluarga malam tadi.

Beliau berkata, jumlah mangsa dan keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Jasin pula kekal iaitu sebanyak 127 mangsa (30 keluarga) ditempatkan di SK Tehel, 10 mangsa (dua keluarga) di SJKC Shuh Yen dan 65 orang (16 keluarga) di SK Parit Gantong.

Katanya, banjir di Melaka melibatkan 10 kawasan iaitu Kampung Tehel dan Kampung Parit Gantong di Jasin, Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing di Alor Gajah manakala Kampung Pengkalan Minyak, Kampung Busut Licin, Kampung Ayer Molek dan Rumah Awam Ayer Molek di daerah Melaka Tengah.

Cuaca pada pagi ini dilaporkan cerah dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan awam. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!