Wakaf Che Yeh jadi pekan ‘mati’

Kenderaan yang keluar dan masuk ke Pasar Malam Wakaf Che Yeh boleh dibilang dengan jari kesan perlaksanaan PKPB.
Kenderaan yang keluar dan masuk ke Pasar Malam Wakaf Che Yeh boleh dibilang dengan jari kesan perlaksanaan PKPB.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasar Malam Wakaf Che Yeh ‘mati’. Itu gambaran terbaharu yang dapat disimpulkan mengenai aktiviti urus niaga di kawasan berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di negeri ini bermula Sabtu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pasar malam itu yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti urus niaga bertukar menjadi ‘mati’ apabila hanya beberapa buah premis sahaja beroperasi.

Bukan itu sahaja, kenderaan yang keluar dan masuk ke kawasan itu boleh dibilang dengan jari kesan perlaksanaan PKPB.

Suasana di Wakaf Che Yeh sunyi sepi tidak seperti kebiasaan apabila peniaga memilih untuk tidak berniaga disebabkan PKPB.
Suasana di Wakaf Che Yeh sunyi sepi tidak seperti kebiasaan apabila peniaga memilih untuk tidak berniaga disebabkan PKPB.

Seorang peniaga, Agussalim Abdul Rahman, 34, berkata, perlaksanaan PKPB itu menyebabkan pendapatannya menjunam hampir 90 peratus.

“Situasi itu menyebabkan saya terpaksa menggunakan wang tabungan untuk dijadikan sebagai modal, membayar gaji pekerja dan sewa kedai.

“Semua itu, saya lakukan dengan tujuan memastikan perniagaan yang dibina hampir 20 tahun lalu tidak gulung tikar,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Menurutnya, tempoh dua minggu perlaksanaan PKPB cukup perit untuk diharungi oleh seluruh peniaga di kawasan ini yang hanya memulakan operasi pada jam 8 malam setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Agussalim menunggu kehadiran pelanggan di hadapan kedainya di Wakaf Che Yeh.
Agussalim menunggu kehadiran pelanggan di hadapan kedainya di Wakaf Che Yeh.

Katanya, merumitkan lagi keadaan had tempoh operasi perniagaan sehingga jam 10 malam memberikan kesan buruk kepada peniaga.

“Kami hanya ada dua jam sahaja untuk berniaga dan tempoh itu amat sukar untuk mendapatkan pelanggan.

“Saya merayu kepada pihak kerajaan supaya melonggarkan sedikit syarat dengan membenarkan premis perniagaan beroperasi hingga jam 12 malam,” katanya.

Agussalam berkata, semua peniaga di sini sememangnya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

Noraziah hanya mampu termenung melihat jualan yang langsung tidak diusik walaupun sudah sembilan jam berniaga.
Noraziah hanya mampu termenung melihat jualan yang langsung tidak diusik walaupun sudah sembilan jam berniaga.

Sementara itu, Noraziah Noordin, 33, yang berniaga makanan mengakui perniagaannya turut terkesan dengan situasi tersebut.

Katanya, walaupun mula berniaga seawal jam 12 tengah hari, namun perniagaannya tidak semeriah sebelum ini.

"Hampir 70 peratus saya hilang pelanggan. Sekarang sudah jam 9 malam, lauk pauk yang dijual masih tidak habis malah langsung tidak diusik.

"Saya amat berharap semoga Covid-19 terus lenyap agar kami semua dapat berniaga seperti sedia kala," katanya.