Guna kaedah ala Covid-19 kawal penagihan dadah

Izhar Abu Talib
Izhar Abu Talib
A
A
A

[WAWANCARA] Gejala penagihan dadah di Malaysia bukan perkara baharu, sebaliknya pada tahun 1983, kerajaan telah mengisytiharkan bahawa dadah merupakan musuh nombor satu negara.

Bermula daripada itu, pelbagai inisiatif telah diambil khususnya melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memerangi ‘penyakit’ itu.

Namun saban hari ia dilihat semakin sukar untuk dikawal dengan kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik yang mudah untuk diperoleh ketika ini.

Dalam wawancara khas bersama Sinar Harian, Presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (Masac), Datuk Izhar Abu Talib mengesyorkan agar kerajaan mengambil templat mencegah wabak koronavirus (Covid-19) sebagai kaedah untuk mengawal penagihan dadah yang semakin membimbangkan ketika ini khususnya membabitkan pelajar sekolah.

Ikuti temu bual Izhar bersama wartawan, NURUL HUDA HUSAIN dan jurugambar, ROSLI TALIB di Persatuan Pengasih Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Datuk merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK dan telah berkhidmat selama 36 tahun. Bagaimana pengalaman yang Datuk ada dapat digunakan untuk menerajui Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (Masac)?

IZHAR: Persatuan Pengasih Malaysia pada masa itu hanya satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) dalam dunia ini yang dibentuk dan didaftarkan secara rasmi yang didokong kuat oleh agensi kerajaan pada ketika itu iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia untuk membantu bekas penagih yang sudah pulih. Bagi membantu rakan yang lain pula, mereka menubuhkan Persatuan Pengasih Malaysia dan kemudiannya ia berkembang.

Artikel Berkaitan:

Kita adakan program percambahan minda bersama, berbincang bersama menyelesaikan masalah bersama. Kita bangunkan NGO Pengasih secara bersama dan daripada Pengasih, kita kembangkan kepada pusat pemulihan dadah NGO yang lain. Daripada 10 pergi ke 20, daripada 20 pergi ke 30 unit dan mereka terdiri daripada bekas penagih dadah.

Jadi, bersandarkan pengalaman selama 36 tahun ini, saya memainkan peranan untuk memberi nasihat dan perundingan serta menggalakkan NGO di bawah Masac bagi memastikan ia dapat bertahan sampai ke hari ini kerana kita mempunyai fokus yang sama iaitu rawatan dan pemulihan. Semasa saya bersama AADK, pengalaman tugas saya pun dalam bidang rawatan dan pemulihan.

Kerja yang dilaksanakan oleh pengusaha pusat pemulihan dadah di bawah Masac juga lebih kepada rawatan dan pemulihan.

Bagaimana Datuk melihatkan usaha-usaha pencegahan dadah pada masa lalu dan masa kini. Apakah perbezaannya ?

Kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara pada tahun 1983. Pada tahun tersebut, gejala penagihan dadah dikategorikan sebagai gelombang pertama. Ketika itu masalah dadah dianggap sebagai masalah sosial.

Ketika gelombang pertama, dadah yang popular ketika itu lebih kepada ganja dan heroin. Selepas itu pada tahun 1990-an, masalah dadah mengganas dan berlaku gelombang kedua dengan dadah Amphetamine Type Stimulant (ATS) iaitu sejenis dadah sintetik yang dihasilkan secara pemprosesan campuran bahan-bahan kimia. ATS merujuk kepada sekumpulan dadah termasuk amphetamine dan methamphetamine.

Selepas itu, pada awal tahun 2000, ia memasuki gelombang ketiga iaitu dadah jenis baharu menggunakan bahan psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) dikenal pasti.

Jadi dari situ, AADK pun berkembang. Daripada peringkat gelombang pertama itu kita tidak berapa menekankan aspek pencegahan kerana pada waktu itu kita menumpukan kepada merawat dan memulihkan mereka yang terjebak dalam masalah penyalahgunaan dadah.

Masuk gelombang ketiga ini apabila masalah penagihan dadah sudah mula jadi satu epidemik. Jenis-jenis dadah dan cara pengedaran dadah pun sudah bertambah. Orang yang mengambil dadah pun sudah bertambah, selain latar belakang orang yang mengambil dadah, profil dan demografi yang mengambil dadah juga sudah berubah.

Selain itu, kita dapat lihat penglibatan pelajar sekolah, orang-orang muda pun semakin bertambah. Dahulu, kes dadah kebanyakan melibatkan orang dewasa dan kita kata dia menagih dadah sebab merokok. Pada masa sama, dasar dadah negara diperkenalkan yang lebih komprehensif.

Izhar Abu Talib
Izhar Abu Talib

Kalau dahulu hanya mengharapkan KDN untuk mengendalikan program berkaitan dadah tetapi dengan penggubalan dasar dadah negara pada tahun 2018, aspek atau program pendidikan, pencegahan rawatan dan pemulihan ini dijalankan serentak.

Kita libatkan juga kepada lebih kurang sembilan kementerian dan 15 jabatan untuk sama-sama membantu agensi pusat atau membantu AADK melakukan program pencegahan mengikut skop dan kumpulan sasar masing-masing.

Jadi, merujuk kepada menambah baik program dan aktiviti pencegahan, ia sentiasa berkembang. Semasa saya dalam AADK, kita memegang dasar dan polisi kita sentiasa terbuka untuk meneroka serta melaksanakan apa sahaja program terbaharu berasaskan asas bukti dan amalan-amalan terbaik di Sweden, Iceland dan Norway.

Begitu juga dengan program rawatan dan pemulihan, sebab masalah penyalahgunaan dadah sentiasa berubah dari segi jenis dadahnya, penjualan dan modus operandi. Pihak agensi penguatkuasaan pun sama, kena ubah pendekatan.

Bagaimana pula dengan usaha-usaha pemulihan dadah yang dilakukan dan kaedah terbaik untuk memulihkan penagih dadah ?

Kita perlu sentiasa meneroka program yang bersandarkan asas bukti dan amalan terbaik daripada program yang terbukti dapat membantu atau berkesan untuk memberikan rawatan dan pemulihan.

Namun, dalam usaha pemulihan ini, kita tidak boleh mengetepikan fungsi atau keberkesanan program berbentuk sokongan rakan sebaya.

Sebab itu, Masac banyak menumpukan kepada pengaruh rakan sebaya dalam mengendalikan program rawatan dan pemulihan.

Banyaklah teknik yang kita gunakan seperti teraputik komuniti, keagamaan dan sebagainya.

Begitu juga AADK yang sentiasa meneroka program dan pendekatan kaedah baharu. Bukan bermakna meninggalkan yang lama tetapi tambah baik sesuai dengan keperluan pemulihan penagih dadah, profil penagih dadah, umur, latar belakang dan sebagainya.

Itu semua dijadikan antara indikator atau faktor-faktor yang kita gunakan untuk memberikan program pemulihan bersesuaian dengan keperluan pemulihan. Perlu diingat bahawa untuk memulihkan dadah ini, tidak ada satu pun satu kaedah itu berkesan untuk semua.

Apakah isu-isu penting atau cabaran utama yang menyebabkan usaha-usaha untuk membasmi penagihan dadah di Malaysia kurang berjaya?

Sejujurnya, masih banyak lagi ruang dan usaha yang kita perlu lakukan. Walaupun sudah 36 tahun saya bekerja dalam bidang ini tetapi saya masih tidak berpuas hati. Cabarannya adalah kita tidak dapat memenuhi jangkaan pemegang taruh. Pihak kerajaan, keluarga dan masyarakat. Mereka menganggap individu yang masuk ke pusat pemulihan sama ada ke NGO atau di bawah AADK, apabila keluar mereka harap dia akan baik dan pulih. Itu yang pertama.

Kedua, harapan masyarakat, harapan pemegang taruh adalah kita tidak mahu kemunculan penagih dadah baharu.

Kalau tidak ada dua perkara itu, selamat tetapi sepanjang perkhidmatan saya, ia masih terus berlaku. Peningkatan penagihan dadah baharu pun meningkat. Kalau dahulu tidak melibatkan budak-budak berumur seawal 12 tahun, sekarang sudah melibatkan kanak-kanak seawal 10 dan 12 tahun.

Dahulu tidak jumpa penagih dadah dalam kalangan budak sekolah, tidak jumpa penagih dadah wanita, sekarang bilangan penagih dadah sudah meningkat.

Pada pandangan Datuk, mengapakah keadaan itu berlaku?

Masalah dadah berpunca daripada kepincangan yang berlaku dalam keluarga, masyarakat dan komuniti. Masalah itu pun hanya boleh diselesaikan melalui sokongan, komitmen dan penglibatan kerjasama keluarga dan komuniti. Jadi, kita kena kembalikan atau dapat sokongan daripada masyarakat semula sebab masing-masing mainkan bahagian masing-masing.

Kita NGO seperti Masac, Rumah Pengasih dan yang lain memainkan peranan kita tetapi apabila dia balik, habis program, dia akan balik kepada keluarga, kepada masyarakat.

Dia perlu berintegrasi dengan komuniti dia tetapi kalau kelompok di luar sana masih ada lagi stigma, ada penolakan, masih ada lagi tidak boleh menerima mereka, maka susah sikit.

Kedua, kewujudan dadah yang bukan kita kata tidak terkawal tetapi mudah untuk diperoleh sama ada dadah jenis konvensional, ATS atau NPS.

Adakah usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini mampu untuk menyelesaikan masalah dadah di Malaysia?

Bagi saya, untuk selesaikan masalah itu sukar. Kalau kita tengok daripada AADK sendiri pun, untuk tahun 2025 mereka menyasarkan untuk mewujudkan masalah dadah yang terkawal. Bukan hendak selesaikan masalah dadah. Ini realiti, bukan hendak kata AADK tidak bagus tetapi realiti memang kita hendak selesaikan masalah dadah ini memang bukan sesuatu yang ideal.

Kita boleh capai macam kita hendak bagi rawatan kepada pesakit-pesakit lain seperti asma, jantung atau kencing manis, dia bukan macam itu.

Masalah dadah merupakan masalah yang unik, memerlukan proses berterusan dan kena dapatkan sokongan semua pihak serta agensi.

Pada waktu sama, pemulihan penagih dadah boleh terjejas jika persekitaran, faktor risiko, faktor pelindung di persekitaran dia tidak kuat untuk membantu mereka.

Melihat perkembangan tersebut, adakah Datuk mempunyai cadangan atau syor tertentu untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dadah?

Dalam konteks untuk meningkatkan lagi program-program pencegahan atau kemunculan penagih baharu terutama dalam kalangan kanak-kanak sekolah, belia dan remaja, saya rasa kita kena ikut templat mencegah Covid-19. Macam mana hendak lawan masalah Covid-19 yang mana ahli politik memberikan sokongan, jadi saya rasa untuk pemulihan dadah juga perlu lakukan perkara sama.

Jika sekarang kita boleh tutup kedai jam 10 malam, restoran tutup, kelab malam tutup dan budak-budak tidak ada tempat untuk melepak. Jadi, apabila jam sudah menunjukkan 10 malam, mereka sudah ada di rumah.

Jadi, kenapa kita tidak gunakan kaedah elemen pencegahan Covid-19 untuk penagihan dadah dengan sedikit penguatkuasaan.

Model ini pun digunakan di tiga negara maju yang saya sebutkan tadi seperti Norway, Sweden dan Iceland. Negara berkenaan apabila masuk jam 8 malam, budak-budak berumur bawah 12 tahun kalau hendak keluar rumah mesti bersama ibu bapa atau penjaga.

Jadi kenapa tidak kita laksanakan seperti itu? Macam sekarang, kita hendak keluar daerah pun tidak boleh, pergi makan pun kena bungkus kerana waktu perniagaan telah dipendekkan. Suka atau tidak, kita kena terima sebab semasa tempoh ini ia terbukti telah berkesan.

Kita tengok sekarang, gejala penagihan dadah melibatkan kanak-kanak sekolah terutama di penempatan yang bersempadan dengan Sungai Golok seperti Pengkalan Kubur, Rantau Panjang dan sebagainya amat membimbangkan.

Dahulu kita pernah buat kajian pada tahun 2010, daripada 10 buah rumah, terdapat tujuh budak sekolah yang terlibat dalam penagihan dadah sama ada sebagai tokan kecil-kecilan atau digunakan sebagai pengedar. Sebabnya kenapa? Ibu bapa tidak ambil kisah anak-anak keluar dan tidak hirau dengan siapa mereka bergaul.

Kalau Covid-19 atau penyakit berjangkit ada akta, maka untuk pencegahan penyalahgunaan dadah kita boleh wujudkan akta baharu, sebagai contoh akta kesejahteraan sosial. Kita ikut ala pencegahan Covid-19.

Jangan anggap dadah sebagai epidemik tetapi anggap sebagai pandemik juga kerana ia sudah berlanjutan sejak tahun 1983. Covid-19 baru masuk awal tahun ini tetapi ramai orang seluruh dunia mati, lalu dianggap sebagai pandemik, sedangkan dadah juga ramai yang mati di seluruh dunia.

Apakah yang membuatkan Datuk begitu bersungguh-sungguh mahu membantu golongan penagih dadah?

Bergelumang dalam bidang pemulihan dadah selama 36 tahun sudah cukup membuatkan saya sebati dengan usaha ini. Dengan sedikit pengalaman yang ada, saya ingin bantu mengawal masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.

Tambahan pula, barisan peneraju Masac juga terdiri daripada rakan-rakan lama yang saya kenal sejak awal perkhidmatan saya dalam AADK. Jadi, inilah antara faktor pendorong saya memilih untuk terus aktif membantu dalam pencegahan penyalahgunaan dadah.

Apakah yang sering Datuk lakukan pada masa lapang ?

Kebanyakan masa terluang saya gunakan untuk mendekati golongan muda, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti sukarelawan. Saya manfaatkan peluang itu dengan berkongsi pandangan dan nasihat kerana kebanyakan mereka yang berusia lingkungan 30 tahun baru membina keluarga dan di situlah saya sampaikan nasihat dan mendidik mereka supaya berfikir dalam apa sahaja perkara yang dilakukan.

Bagaimana peranan NGO seperti Masac dapat membantu kerajaan mengatasi masalah penagihan dadah ?

NGO seperti Masac dan 40 lebih gabungan di bawah Masac, kita menawarkan perkhidmatan rawatan pemulihan dan pencegahan untuk melengkapkan kelompongan yang ada ada dalam program yang dijalankan pihak kerajaan.

Sepanjang 36 tahun saya berkhidmat dalam perkhidmatan terdapat perkara tidak sempurna. Banyak lagi sokongan bantuan dan tambahan daripada pihak luar yang diperlukan.

Kita NGO keluar dengan semangat kesukarelawan, semangat untuk bantu dan sebagai tambahan kepada program kerajaan. Pada masa sama, kita sediakan perkhidmatan alternatif kepada klien yang terlibat dalam masalah penagihan dadah.

Ada dakwaan mengatakan NGO seperti mahu bersaing dengan agensi sedia ada. Apa pendapat Datuk ?

Bukan hendak bersaing atau hendak berlawan, tidak. Siapa kita hendak berlawan dengan kerajaan, dengan tidak ada bajet dan tidak ada tenaga kerja.

Kita tidak berada di posisi itu untuk lawan kerajaan tapi yang jelas, kita hendak bantu melengkapkan, menyokong dan kita juga menyediakan alternatif, bukan hanya tempat sahaja.

Alternatif dari segi kaedah dan program. Ada orang hendak pergi pasal agama, ada orang hendak belajar pendekatan agama, jadi kita sediakan perkara-perkara tersebut.

Apakah harapan Datuk terhadap usaha-usaha yang dimainkan NGO dalam menangani masalah dadah di Malaysia?

Harapan saya sama seperti harapan masyarakat agar kita dapat membantu mencegah mereka daripada terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah. Mana-mana yang terlibat itu, kita berhasrat atau bercita-cita supaya mereka dapat dipulihkan dan jadi individu atau masyarakat yang berfungsi kepada diri, keluarga dan agama, juga kembali kepada masyarakat dan keluarga.