X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar UMS dari Semenanjung, Sarawak dibenarkan pulang

Masidi
A
A

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memberikan kebenaran kepada pelajar termasuk dari Semenanjung dan Sarawak untuk pulang ke kampung masing-masing bermula Jumaat lepas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga merupakan jurucakap rasmi koronavirus (Covid-19) kerajaan negeri berkata, keputusan itu dibuat setelah pihak universiti mendapat banyak permintaan daripada ibu bapa pelajar supaya anak mereka dapat pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, mana-mana pelajar yang telah balik (ke rumah) tidak dibenarkan masuk ke kampus semula. Pelajar berkenaan boleh memohon kebenaran pulang ke kampung daripada fakulti masing-masing.

"Pada masa sama, mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan surat akuan ibu bapa dan pelajar untuk keluar dari kampus di pejabat kolej kediaman masing-masing," katanya pada sidang media harian Covid-19 negeri Sabah di sini hari ini.

Masidi berkata, bagi pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung mereka pada masa ini, UMS telah memberikan pelbagai bantuan dan mengadakan program untuk pelajar dalam kampus bagi memastikan kesihatan dan kebajikan pelajar berkenaan terjaga.

"Ini termasuk bantuan makanan kering dan alat mandian selain pelitup muka dan pensanitasi tangan, membuat ujian saringan Covid-19 bersasar, memberi khidmat kaunseling kepada semua pelajar secara dalam talian dan menyediakan bilik gerakan Hal Ehwal Pelajar yang beroperasi 24 jam," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!