X

Kindly register in order to view this article
!

Op Darat Tengkujuh kesan tangkapan ikan guna renjatan elektrik

Anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan Kelantan merampas peralatan menangkap menggunakan teknik haram secara renjatan elektrik yang ditinggalkan di lokasi serbuan.
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perikanan Kelantan mengesan kegiatan penangkapan ikan darat menggunakan teknik haram secara renjatan elektrik di kawasan sawah padi sekitar daerah ini dan Pasir Puteh sejak Khamis lalu.

Kegiatan dikesan melalui Op Darat Tengkujuh oleh enam anggota yang turut merampas dua set peralatan menangkap ikan serta sebuah motosikal.

Pengarahnya, Nazri Ishak berkata, individu terbabit yang mengetahui kesalahan itu bertindak melarikan diri dalam suasana gelap sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan sawah di Kampung Kadok di sini pada jam 10.15 malam.

“Ketika itu ada seorang lelaki menangkap ikan dengan menggunakan renjatan elektrik dan anggota mendekatinya namun dia sempat melarikan diri serta meninggalkan peralatannya.

“Serbuan berasingan di kawasan sawah padi di Kampung Jelor Selising, Pasir Puteh pada jam 12.30 pagi, Jumaat lalu apabila seorang lelaki yang terkejut lalu lari meninggalkan peralatan itu dan motosikalnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kaedah penangkapan ikan cara renjatan elektrik merupakan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di baca bersama Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1997 Kelantan.

“Mereka yang melakukan kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM5,000 dan penjara sehingga dua tahun.

“Tidak dinafikan ketika cuaca nak bermula musim tengkujuh seperti ini, ada pula yang tidak bertanggungjawab guna cara mudah untuk mendapatkan ikan seperti ikan darat jenis lampan, belut, ikan puyu, ikan haruan dan lain-lain,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan melarang keras penggunaan alatan renjatan elektrik, menuba dan bom yang boleh menyebabkan kepupusan benih serta sumber ikan.

“Pada masa sama penguatkuasaan, pemeriksaan dan rondaan akan dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang musim ini.

“Tumpuan utama di sekitar sawah padi dan tali air kawasan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Machang manakala orang awam boleh terus menyalurkan maklumat kesalahan undang-undang yang berlaku di kawasan mereka,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!