Kos penghantaran biar masuk akal

No Image Caption
A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) yang melanda Malaysia sejak penghujung tahun lalu sehingga kini masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Saban hari masih ada kes baharu di serata negeri sehingga menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun, sebaik sahaja PKPB diumumkan, ramai mengeluh khususnya peniaga yang rata-rata mengatakan sumber pendapatan mereka pasti akan berkurangan.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, peniaga kini semakin kreatif dan tidak lagi hanya menunggu pelanggan di premis, sebaliknya mempelbagaikan usaha mencari tempahan melalui dalam talian, perkhidmatan ke rumah, media sosial, mahu pun pelbagai aplikasi lain dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Perkhidmatan penghantaran ke rumah paling banyak ditawarkan kerana orang ramai tidak boleh keluar rumah dengan bebas seperti dahulu. Penghantaran ke rumah memudahkan, namun persoalannya ada pelanggan yang 'bising’ dan tidak berpuas hati dengan kos penghantaran yang dikenakan.

Ini kerana kos penghantaran yang dikenakan terlalu mahal sehingga mencecah RM20, sedangkan lokasinya dekat sahaja tidak sampai tiga kilometer. Macam tak masuk akal pula.

Isu itu pernah disuarakan oleh pelakon terkenal filem Jebat, Sharnaaz Ahmad yang turut meluahkan rasa kecewanya terhadap kos penghantaran yang dikenakan peniaga sebanyak RM20, walaupun jarak antara rumah dengan premis perniagaan tidak sampai lima kilometer.

Apabila difikirkan, ada betul juga apa yang dikatakan oleh pelakon popular itu. Siapa sebenarnya yang mengawal harga bagi kos penghantaran? Adakah peniaga atau runner itu sendiri.

Kalau kos penghantaran lebih mahal daripada harga barang, baik kita ambil sendiri barang tersebut daripada peniaga.

Artikel Berkaitan:

Muhasabah

Bayangkan, kita membeli nasi bajet berharga RM5 dan kos penghantaran pula RM4, jadi jumlah keseluruhan RM9. Adakah berbaloi jika kita menggunakan perkhidmatan penghantar makanan?

Hanya tambah RM1 lagi, kita sudah boleh membeli satu lagi nasi bajet. Ada situasi harga barang RM10 tetapi kos penghantaran sebanyak RM15. Adakah kita masih mahu membuat tempahan secara dalam talian atau keluar sendiri membeli?

Mungkin ada segelintir peniaga yang akan berkata: “Saya tak paksa pun beli, kalau tak nak beli pun tak apa.” Mereka perlu ingat dan bermuhasabah kerana punca rezeki mereka juga datangnya daripada pembeli.

Bukan semua orang yang membuat tempahan itu berduit, kadangkala mereka juga ada masalah lain, misalnya tidak dapat keluar, terlalu banyak kerja sehingga tidak sempat untuk keluar membeli.

Namun, ada juga pembeli tidak kisah dengan kos penghantaran yang dikenakan, selain mahu membantu pengusaha dan runner sebagai tanda sokongan kepada mereka yang mencari rezeki.

Memang benar, kos penghantaran yang dikenakan itu adalah sumber pendapatan kepada si penghantar tetapi jika diletakkan harga setinggi 'kayangan’ mungkin tidak masuk akal juga.

Pembeli tidak kisah untuk membayar kos penghantaran. Ada yang melihat dari sudut lain iaitu pekerja yang menghantar barang itu bersusah payah tanpa mengira cuaca.

Mungkin si penghantar itu adalah rakan kita yang dibuang kerja akibat Covid19. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Kalau kita sama-sama bertolak ansur, pasti kedua-dua pihak akan rasa gembira.

Tetapi janganlah terlalu fikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengenakan caj penghantaran yang melampau atau 'cekik darah’.

Peniaga juga perlu ingat, kalau tiada pembeli, perniagaan anda mungkin tidak laku, bahkan anda juga yang akan rugi. Lebih teruk lagi jika pembeli memboikot perniagaan anda.

Bak kata pepatah, sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, kita perlu bersama-sama bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu urusan jual beli itu.

Ibarat susah senang dikongsi bersama.

* Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan