X

Kindly register in order to view this article
!

Arak: Garis panduan baharu bukan sekat hak bukan Islam

Tindakan tidak membenarkan kedai runcit dan kedai serbaneka menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan bukan untuk mengehadkan hak rakyat bukan Islam. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras mampu melindungi rakyat di negara ini.

Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) Firdaus Wong berkata, tindakan tidak membenarkan kedai runcit dan kedai serbaneka menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan bukan untuk mengehadkan hak rakyat bukan Islam tetapi melindungi semua rakyat Malaysia.

Pendakwah bebas itu juga berkata, ramai yang terkejut dan mewujudkan sentimen Islam 'versus' bukan Islam.

"Kita sepatutnya malu apabila Singapura terlebih awal menguatkuasakan undang-undang yang hampir sama pada 1 April 2015 berbanding Malaysia, sebuah negara majoriti Muslim yang hanya akan menguatkuasakan pada 1 Oktober tahun depan.

“Di Singapura, mereka tidak boleh meminum arak dari jam 10.30 malam sehingga 7 pagi manakala di kawasan Geylang dan Little India lebih ketat kerana dilarang meminum arak dari jam 7 pagi Sabtu sehingga 7 pagi Isnin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Firdaus turut memberi contoh di Ireland yang mengehadkan penjualan arak dari jam 10.30 pagi sehingga 10 malam pada hari biasa dan 12.30 tengah hari sehingga 10 malam pada hari Ahad selain mengharamkan pengiklanan arak di pengangkutan awam dan pawagam bermula 12 November 2019.

Menurutnya, Ireland juga mengehadkan pengiklanan arak di kedai runcit, acara majoriti peserta kanak-kanak serta acara perlumbaan motor dan kereta diharamkan.

"Perancis juga mengharamkan pengiklanan arak secara terbuka pada tahun 1991," katanya.

Beliau juga yakin DBKL telah melakukan kajian sebelum menguatkuasakan undang-undang baharu itu yang sepatutnya disokong oleh semua pihak yang mementingkan kesejahteraan rakyat.

“Satu kajian telah dilakukan di bandar Diadema, Brazil yang mempunyai kadar pembunuhan yang sangat tinggi di mana 65 peratus kes pembunuhan ada kaitan dengan pengambilan alkohol dan waktu kejadian di antara 11 malam hingga 6 pagi.

“Pada Julai 2002, undang-undang baharu mewajibkan bar ditutup pada jam 11 malam dan hasilnya kes pembunuhan menurun sebanyak 44 peratus dan kes penderaan wanita menurun 17 peratus," katanya.

Justeru, beliau percaya undang-undang baharu DBKL itu akan membantu menurunkan kes kemalangan, kematian dan jenayah yang berkaitan dengan arak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!