Kes masih dalam siasatan, KP Imigresen enggan komen lanjut

Antara pegawai dan anggota imigresen yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, Sabtu lalu. Gambar kecil: Khairul Dzaimee
Antara pegawai dan anggota imigresen yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, Sabtu lalu. Gambar kecil: Khairul Dzaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud enggan mengulas lanjut berhubung pembongkaran kepincangan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 melibatkan beberapa pegawai dan anggota jabatan itu yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket kemasukan warga asing.

Ketika diminta mengulas tentang tindakan yang mungkin diambil beliau dalam mengembalikan integriti jabatan tersebut, Khairul Dzaimee memaklumkan tiada kenyataan buat masa ini memandangkan kes kontroversiti itu masih lagi dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kes masih dalam siasatan. Tiada kenyataan, terima kasih," katanya semalam ketika Sinar Harian bertanyakan beberapa soalan mengenai kes salah guna cap keluar masuk di pintu masuk utama negara itu.

Sejak Jumaat lalu, pihak SPRM mengheret sekurang-kurangnya 28 pegawai dan anggota imigresen selepas membongkar rangkaian aktiviti penyeludupan manusia antarabangsa khususnya dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh yang sewenang-wenangnya melepasi kawalan pintu masuk negara di KLIA dan KLIA2.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai kanan, dua anggota Jabatan Imigresen ditahan

Kes tersebut berjaya dihidu pihak SPRM selepas ada pegawai dan anggota yang mempunyai gaya hidup yang luar biasa mewah.

Paling mengejutkan seorang kakitangan Gred KP19 berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gaji permulaan RM1,360 dan maksimum RM4,052 boleh memiliki empat kereta mewah iaitu Rolls-Royce Phantom, Ford Mustang, Range Rover dan Audi.

Artikel Berkaitan:

Rolls-Royce Phantom berharga antara RM2.2 juta hingga RM2.5 juta dirampas SPRM dalam serbuan Op Selat baru-baru ini.
Rolls-Royce Phantom berharga antara RM2.2 juta hingga RM2.5 juta dirampas SPRM dalam serbuan Op Selat baru-baru ini.

Harga sebuah varian standard Rolls-Royce Phantom bermula RM2.2 juta, manakala model Extended Wheelbase yang lebih panjang dan mewah dijual pada harga RM2.5 juta. Sementara, kereta Ford Mustang model 5.0 GT Coupe yahun 2017 pula berharga sekitar RM268,000.

Sindiket terbabit yang melakukan kegiatan itu dikatakan mendaftarkan kesemua kereta mewah berkenaan atas nama dua warga China, dipercayai ejen pekerja asing China di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan.

Sehingga kini SPRM masih berusaha mengesan keempat-empat mereka yang sudah pun dikenal pasti identiti itu dan salah seorang ejen tempatan berkenaan dipercayai membantu dalam urusan menyimpan kenderaan-kenderaan mewah berkenaan.

SPRM
SPRM