Arab Spring gagal tumbangkan Bashar al-Assad

Bandar raya Damsyik merupakan wilayah pentadbiran Presiden Syria, Bashar al-Assad. - Foto AFP
Bandar raya Damsyik merupakan wilayah pentadbiran Presiden Syria, Bashar al-Assad. - Foto AFP
A
A
A

PRESIDEN Syria, Bashar al-Assad masih mampu bertahan dan mengekalkan kuasanya walaupun berlaku perang saudara yang menentang pemerintahannya yang dianggap korup dan zalim kira-kira 10 tahun lalu.

Bashar dan tenteranya berperang dengan kumpulan-kumpulan pejuang jihad tempatan dan yang datang dari beberapa buah negara asing selepas penduduk negaranya mula melakukan tunjuk perasaan antikerajaan pada Mac 2011.

Kebangkitan penduduk Arab yang menentang pemerintahan pemimpin yang bersifat diktator bermula di Tunisia pada Januari 2011 sebelum merebak ke Syria pada pertengahan Mac tahun sama.

Pada mulanya, sejumlah penduduk di bandar kecil Dara'a, di negara tersebut melakukan tunjuk perasaan bagi menentang penyeksaan dilakukan ke atas para pelajar yang ditahan kerana membuat lukisan grafiti antikerajaan.

Keadaan kacau-bilau itu merebak ke bahagian lain di Syria dengan para penunjuk perasaan menuntut pembaharuan dilakukan di negara tersebut, mendesak Bashar meletakkan jawatan, membenarkan kewujudan parti-parti politik, hak sama rata untuk etnik Kurdistan, kebebasan politik dan bersuara.

Justeru, pada 21 April 2011, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan undang-undang darurat yang telah termaktub di negara berkenaan sejak tahun 1963.

Bagaimanapun, pada bulan yang sama, Syria melancarkan satu siri memerangi para penunjuk perasaan dengan menghantar kereta-kereta kebal ke bandar-bandar terjejas dengan tunjuk perasaan manakala pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah mereka.

Pasukan keselamatan kemudian menggunakan kereta-kereta kebal dan penembak hendap untuk menghalang orang ramai daripada berkumpul di jalanan manakala bekalan air serta elektrik diputuskan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan keselamatan mula merampas tepung dan bekalan makanan terutamanya di kawasan-kawasan yang menjadi lokasi penunjuk perasaan.

Konflik itu menjadi lebih rumit apabila Syria terbahagi dengan penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik dengan Bashar dan pihak ketenteraan adalah terdiri daripada golongan fahaman Syiah Alawi yang merupakan golongan minoriti di negara yang majoritinya Sunni.

Presiden Syria, Bashar al-Assad masih lagi berkuasa di negara itu sejak kali pertama menjadi pemimpin pada tahun 2000. - Foto AFP
Presiden Syria, Bashar al-Assad masih lagi berkuasa di negara itu sejak kali pertama menjadi pemimpin pada tahun 2000. - Foto AFP

Peperangan saudara di Syria telah mengorbankan lebih 380,000 orang, 37 juta penduduk hilang tempat tinggal dan puluhan ribu lagi penduduk dipenjarakan.

Harga makanan meningkat naik dan nilai mata wang menyusut yang mana kerajaan Syria menyalahkan sekatan pihak Barat sebagai punca krisis ekonomi di negara berkenaan.

Namun, Bashar yang berusia 55 tahun masih memerintah di Syria dan gagal ditumbangkan.

"Bashar mengetahui untuk bermain (politik) bagi tempoh yang panjang. Selepas seluruh dunia beranggapan beliau boleh disingkirkan, kini ia mahu untuk berdamai dengannya (Bashar).

"Beliau berpegang teguh dengan pendiriannya tanpa kompromi dan mampu mendapat balik kebanyakan wilayah Syria dengan kekuatan ketenteraan.

"Tentera Syria juga memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidupnya. Inilah yang menjadikan Bashar sebagai satu pengecualian dalam kebangkitan Arab Spring," kata seorang ahi politik Lubnan, Karim Pakradouni kepada AFP.

Bashar yang merupakan Presiden Syria ke-19 mula berkuasa sejak 17 Julai 2000 bagi menggantikan bapanya, Hafez Al-Assad yang meninggal dunia dan merupakan satu-satunya pemimpin yang gagal ditumbangkan dalam kebangkitan Arab Spring.

Di Tunisia, akibat kebangkitan Arab Spring, Presidennya, Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan, di Mesir, Hosni Mubarak juga meletakkan jawatan dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dibunuh oleh penduduknya sendiri.

Namun, Bashar masih lagi berkuasa dan selepas mendapat sokongan dari Rusia, tenteranya kembali mengawal semula kira-kira 70 peratus daripada negaranya.

Protes menentang Bashar itu turut melibatkan pertempuran antara tentera kerajaan yang mendapat sokongan Rusia dan Iran dengan kumpulan anti-Bashar terdiri daripada kumpulan bersenjata yang disokong Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Turki dan lain-lain pihak di rantau berkenaan.

Perang saudara yang meletus di Syria kini telah menyebabkan lebih 380,000 orang terkorban sejak tahun 2011. - Foto AFP
Perang saudara yang meletus di Syria kini telah menyebabkan lebih 380,000 orang terkorban sejak tahun 2011. - Foto AFP

Terdapat juga operasi ketenteraan Turki untuk menghapuskan para pejuang Kurdistan yang dianggap mengancam keselamatan Turki di Syria.

Kempen untuk memerangi kumpulan Negara Islam di Syria turut diketuai oleh AS.

Syria menjadi tempat tumpuan pelbagai kumpulan pejuang yang mendapat bantuan daripada kuasa-kuasa besar dunia dengan matlamat perjuangannya yang tersendiri.

Pernah mendesak supaya Bashar berundur, kuasa-kuasa Barat kini berusaha untuk mencari satu penyelesaian politik bagi meredakan konflik di Syria sebelum pilihan raya Presiden Syria diadakan pada musim panas yang akan datang.

"Pada hari ini, rejim Syria tidak dapat diterima kembali ke dalam sistem antarabangsa dan tidak boleh berada di luar sistem itu," kata seorang penyelidik berpangkalan di Damsyik, Syria, Thomas Pierret kepada AFP.

Bashar yang merupakan seorang pakar mata kini berada dalam dekad ketiga kekuasaan dan pemerintahannya kemungkinan berkekalan kerana puluhan ribu penduduk Syria yang menuntutnya supaya berundur daripada tampuk kuasa kini melarikan diri ke luar negara kerana perang, dipenjarakan atau sudah terkorban berikutan peperangan saudara. - Agensi