Selangor tanggung kos perubatan anggota bomba cedera

Amirudin Shari. - Foto Bernama
A
A

SUBANG JAYA - Kerajaan negeri akan menanggung kos perubatan seorang anggota bomba yang cedera diserang sewaktu menjalankan tugas di Kuil Sri Mariamman USJ di sini, awal tadi.

Muhammad Adib Mohd Kassim dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit, ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau berharap sumbangan kerajaan negeri dapat meringankan beban keluarga.

Dalam masa sama menurutnya, beliau turut malahirkan rasa dukacita susulan insiden serangan tersebut.

"Keadaannya kritikal dan saya berdoa supaya keluarganya bersabar.

"Perkara ini tak sewajarnya berlaku jika semua berada dalam keadaan tenang," katanya selepas melawat mangsa yang cedera kini mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), hari ini.

Mengulas status tindakan kerajaan negeri berhubung isu tersebut katanya, beliau mengutamakan aspek keselamatan.

"Fokus saya adalah kembalikan ketenteraman dan hal-hal lain kita akan bincang kemudian.

"Justeru saya akan panggil Majlis Keselamatan Negeri untuk melihat perkara itu," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anggota bomba cedera, jentera dirosakkan]