Alat pemadam api meletup mungkin diubah suai

Sayani (tengah) memantau lokasi kejadian membabitkan letupan alat pemadam api di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani hari ini.
Sayani (tengah) memantau lokasi kejadian membabitkan letupan alat pemadam api di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah tidak menolak kemungkinan alat pemadam api kereta yang meletup sehingga mengakibatkan seorang maut semalam telah diubah suai.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon bagaimanapun berkata, siasatan masih diteruskan setakat ini bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Siasatan forensik bomba lebih menjurus kepada kemungkinan alat pemadam api tersebut telah diusik atau cuba diubah suai sehingga mengakibatkannya meletup," katanya ketika membuat pemantauan di lokasi kejadian hari ini.

Siasatan dijalankan di sekitar lokasi kejadian di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani hari ini bagi mengenal pasti punca kejadian.
Siasatan dijalankan di sekitar lokasi kejadian di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani hari ini bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang awam agar tidak panik untuk menyimpan alat pemadam api tersebut ke dalam kereta kerana ia telah direka sebagai alat yang selamat disimpan melainkan jika strukturnya telah diubah suai.

"Alat pemadam api telah direka sebagai alat yang selamat untuk disimpan di dalam kereta serta tidak mudah meletup walaupun cuaca di negara panas," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan seorang peniaga warung maut apabila alat pemadam api kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya meletup sehingga terkena pada kaki, paha dan lengan kiri. Dalam kejadian kira-kira 1.15 petang di Bandar Puteri Jaya di sini itu, mangsa, Mohamad Yusri Omar, 43, dikatakan sedang membaiki radio milik rakannya sebelum alat pemadam api berkenaan mengeluarkan asap putih sehingga mendorong mangsa untuk mengambil dan membuangnya dan berlaku letupan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga maut alat pemadam api kenderaan meletup

Artikel Berkaitan: