Selangor rekod 1,203 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak Mac

Kawalan ketat oleh anggota keselamatan di kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kawalan ketat oleh anggota keselamatan di kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan sebanyak 1,203 kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) hari ini, sekali gus menjadi angka tertinggi pernah direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), negeri ini turut mencatatkan pertambahan sebanyak 145 kes discaj pada hari ini.

"Kawasan yang merekodkan jumlah kes tertinggi adalah daerah Klang dengan 1,122 kes di mana kebanyakan membabitkan Kluster Teratai yang melibatkan pekerja di kilang sarung tangan, Top Glove," kata JKNS.

Selain itu, katanya, daerah Hulu Langat pula merekodkan 28 kes, diikuti Petaling (25), Sepang (13), Hulu Selangor (enam), Gombak (empat), Kuala Langat (empat) dan Kuala Selangor (satu).

Info grafik yang dimuat naik menerusi laman Facebook JKNS.
Info grafik yang dimuat naik menerusi laman Facebook JKNS.

Menerusi sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, Selangor menjadi negeri yang merekodkan kes Covid-19 tertinggi dengan 1,203 kes di mana semuanya melibatkan jangkitan tempatan, diikuti Sabah 289 kes manakala Kuala Lumpur pula 195 kes.

Semalam, Selangor mencatatkan sebanyak 603 kes baharu positif Covid-19 setakat jam 12 tengah hari.

Dalam pada itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi infografik dimuat naik di Facebook memaklumkan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 9,752 kes.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, sebanyak 602 daripada kes baharu dilaporkan semalam adalah jangkitan tempatan, manakala satu lagi jangkitan luar negara.