Pemuda UMNO desak tambah peruntukan akses pembelajaran atas talian

Kenyataan Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook beliau hari ini.
Kenyataan Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya menambah peruntukan bagi 1.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia yang tidak mempunyai akses kepada pembelajaran atas talian.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan sedia ada yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 adalah tidak mencukupi.

Beliau berkata, ia mengambil kira dapatan kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menunjukkan sebanyak 37 peratus daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.

“Angka ini bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer iaitu peranti yang menjadi prasyarat untuk membolehkan mereka belajar dalam talian akibat penutupan sekolah sehingga Januari tahun hadapan.

“Belanjawan 2021 ada menyentuh secara langsung bantuan kepada kelompok pelajar terbabit melalui inisiatif GLC dan GLIC di bawah seliaan Yayasan Hasanah yang akan menyumbang RM150 juta kepada Dana Cerdik untuk memberi komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah perintis,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, inisiatif tersebut hanya menampung tidak sampai sembilan peratus daripada 1.7 juta pelajar terbabit yang mana sebahagian besarnya adalah daripada kelompok B40 iaitu keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM4,800 sebulan.

“Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan dapat menilai semula keperluan ini dengan menambah peruntukan kepada KPM bagi memastikan 1.7 juta pelajar ini tidak dinafikan hak mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana normal baharu pembelajaran dalam talian di kala pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Julai lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam laporan sebuah akhbar tempatan mengakui wujudnya jurang digital dalam kalangan murid luar bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh hasil Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian yang dilaksanakan kementerian antara 28 Mac hingga 2 April lalu.