X

Kindly register in order to view this article
!

Kos kesihatan sosial lebih besar berbanding hasil cukai arak

Mohd Azmi
A
A

ALOR SETAR - Kos yang ditanggung kerajaan untuk kesihatan sosial dan keselamatan awam adalah lebih besar berbanding hasil cukai arak yang dikutip kerajaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sehubungan itu kerajaan tidak perlu tunduk terhadap sebarang tekanan sekiranya menguatkuasakan larangan penjualan arak di seluruh negara.

Menurutnya, alasan segelintir pihak mendakwa garis panduan baharu berkaitan lesen minuman keras di Kuala Lumpur bakal memberi kesan negatif kepada ekonomi, adalah sangat dangkal.

“Mapim kecewa dengan pihak perniagaan minuman keras yang membantah peraturan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa merugikan perniagaan jualan arak.

Alasan mereka konon kerajaan akan kehilangan cukai dan ekonomi negara akan terjejas jika perniagaan arak diperketatkan adalah tidak benar. Ia langsung tidak mengambil kira kesan arak terhadap masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Azmi berkata, Mapim berpendirian keputusan DBKL itu adalah tepat pada masanya dan perlu dikekalkan, malah wajar diperluaskan ke seluruh negara.

“Kenapa arak yang terbukti menjejaskan kesihatan awam dan keamanan sosial mahu terus dijadikan perusahaan di negara ini?

"Alasan seluruh kota di dunia membenarkan penjualan arak adalah alasan yang tidak boleh diterima. Malaysia tidak perlu ikut trend dunia dalam hal berkaitan sesuatu yang memudaratkan,” katanya.

Minggu lalu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang menetapkan kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Arak pencetus masalah sosial

Ramai menyambut baik garis panduan itu, malah kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di seluruh negara, seperti mana kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, tempoh setahun yang diberikan mencukupi untuk peniaga terlibat membuat pengubahsuaian sektor perniagaan mereka.

“Banyak perniagaan lain yang boleh menggantikan perniagaan arak untuk mereka meneruskan aktiviti perniagaan.

Ia bukan tindakan mundur, sebaliknya merupakan langkah progresif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dari aspek kesihatan, ekonomi dan kestabilan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, desakan persatuan perniagaan minuman keras yang membantah garisan panduan DBKL itu tidak perlu dilayan.

“Kerajaan harus utamakan keperluan asas dan kesihatan rakyat, bukan kepentingan segelintir pihak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!