Sindiket bayar RM500 beli akaun pemilik

Polis menahan 10 ahli sindiket penipuan pembekal keldai akaun dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Polis menahan 10 ahli sindiket penipuan pembekal keldai akaun dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menawarkan bayaran RM500 kepada pemilik akaun untuk satu akaun yang dijual. Itu antara tawaran sindiket penipuan pembekal keldai akaun yang berjaya dikesan polis menerusi serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Serbuan yang bermula pada 5 November sehingga 10 November itu dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hasil maklumat dan risikan.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, operasi ini berjaya menahan 10 individu termasuk tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek adalah ahli sindiket yang menjalankan kegiatan mencari individu yang sanggup untuk menjual akaun mereka.

"Sindiket yang beroperasi sejak 2019 itu aktif melakukan kegiatan terbabit di media sosial dengan menumpukan golongan yang berpendapatan rendah, tidak bekerja selain mereka yang tiada disenarai hitam oleh pihak bank.

"Pemilik akaun ini akan dibayar dengan bayaran RM500 hingga RM800 untuk setiap akaun atau kad ATM yang dijual. Bagi menyakinkan mangsa, suspek juga telah dilatih untuk mengelakkan rasa curiga pemilik akaun," katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Antara individu yang dicari polis untuk membantu siasatan.
Antara individu yang dicari polis untuk membantu siasatan.

Beliau mendedahkan, siasatan polis mendapati akaun yang dibeli sindiket ini kemudian akan dijual kepada sindiket jenayah lain dengan harga RM2,000 hingga RM3,500 bergantung kepada jenis akaun.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya percaya setiap ahli sindiket terbabit akan diberi bayaran RM500 hingga RM1,500 bagi setiap akaun atau kad ATM yang berjaya diperoleh hingga pendapatan mereka mampu mencecah RM10,000 sebulan.

Katanya, dengan tumpasnya sindiket terbabit, pelbagai barang telah dirampas antaranya selaras rifle, tiga pucuk pistol tiruan, kelopak peluru selain 79 kad ATM, telefon bimbit (24), komputer riba (4) dan pelbagai barang lain.

"Sebanyak 32 laporan polis turut diterima melibatkan kes jenayah komersial melibatkan kerugian RM1.15 juta," katanya.

Dalam pada itu, polis kini giat mengesan dua lagi individu iaitu Shawn Lee Kim Boon, 31, dan Ben Lee Kim Soon, 30, untuk siasatan kes terbabit.

Justeru, orang awam diingatkan agar bertanggungjawab ke atas akaun mereka sendiri agar tidak diguna pakai oleh sindiket jenayah. Usah sesekali memberikan kad ATM kepada individu tidak dikenali kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan, katanya.