Bicara kes rasuah Ahmad Zahid bermula 12 April 2021

 Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan bermula 12 April tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada 12 Oktober lalu ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"E-mel diterima daripada mahkamah memaklumkan bahawa seperti diarahkan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin, tarikh perbicaraan bagi kes ini ditetapkan pada April 2021 iaitu 12 hingga 15, 19, 20 hingga 22 dan 26 hingga 28.

"Mahkamah turut menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan selanjutnya pada Mei 2021 iaitu 3 hingga 6, 24, 25, 27 dan 31 serta 1 hingga 3 Jun 2021," katanya menerusi Whatsapp.

Sementara itu, TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan terhadap pihak pembelaan dan kira-kira 12 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

"Dianggarkan saksi (yang akan dipanggil) 12 orang tetapi mungkin lebih," katanya.

Ahmad Zahid, 67, mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Presiden UMNO itu yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh dan Hisyam Teh Poh Teik didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -Bernama