Pencemaran Sungai Selangor: Dua bakal berdepan penjara seumur hidup

Pihak polis membawa R Nathan dan Lim Kian Aik ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini bagi pendakwaan kes pencemaran Sungai Selangor, tiga minggu lalu.
Pihak polis membawa R Nathan dan Lim Kian Aik ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini bagi pendakwaan kes pencemaran Sungai Selangor, tiga minggu lalu.
A
A
A

SELAYANG – Dua lelaki menjadi individu pertama berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air dan lima pertuduhan lain berhubung pencemaran Sungai Selangor, tiga minggu lalu.

Kontraktor jalan, R Nathan, 43, dan pengarah sebuah syarikat, Lim Kian Aik, 42, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bagi mencapai niat bersama, telah melakukan sabotaj dengan niat mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, di sini antara 2 hingga 10 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dipertuduhkan itu, disenaraikan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan yang menggunakan prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kes itu membabitkan kesalahan terhadap keselamatan negara dan perlu mengguna pakai prosedur SOSMA, di mana kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk mendapatkan izin agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Nathan memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan tindakan pendakwaan yang tidak menawarkan jaminan adalah bersifat ultra vires (melampaui kuasa).

"Anak guam saya merupakan seorang penghidap penyakit kencing manis dan merupakan penanggung utama keluarga dan perlu menyara dua anak berusia 12 dan 22 tahun," katanya.

Sementara itu, peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Kian Aik membuat permohonan sama, dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan.

"Meskipun pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin kerana kes di bawah SOSMA, mahkamah masih mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama itu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Jalan Velox Utama, Taman Velox, Rawang yang mana tindakan tersebut mengurangkan fungsi tempat rawatan kumbahan tersebut.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 61 (1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 61(2) akta industri sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa dengan niat bersama telah menjalankan aktiviti yang ditetapkan iaitu kemudahan penstoran (luar tapak) yang merupakan aktiviti yang diseneraikan di perenggan 14 (a) (iii) di dalam jadual pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (aktiviti yang ditetapkan) (penilaian kesan kepada alam sekeliling) 2015 tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan laporan penilaian tersebut daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10.45 malam di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Sekeliling 1974 (Akta 127) dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) Akta Kualiti Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, mereka didakwa dengan niat bersama telah menggunakan premis tersebut untuk menempatkan buangan terjadual seperti dalam jadual pertama, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) 2005 iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 34B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa dengan niat bersama menggunakan premis itu untuk penempatan bahan buangan terjadual dan menempatkan 40 tangki IBC seperti diperuntukan dalam jadual sama iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa lesen daripada Ketua Pengarah sama, pada masa, lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 18(1) dan 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, boleh dihukum dan boleh didenda atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Maziah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan kelima dan keenam berjumlah RM30,000 setiap seorang berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Januari 2021 sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, di Mahkamah Majistret di sini hari ini, Nathan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan aktiviti perniagaan di premis sama tanpa lesen yang didakwa di bawah Undang-undang kecil 3 Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Selayang) 2007.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, pihak Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) memaklumkan, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) ekoran pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang dikesan pada tahap 8 ton manakala LRA Sungai Selangor bagi Fasa 1,2 dan 3 adalah 4 ton.

LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang yang dihenti tugas jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari ini.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.

Pada 11 November lalu, lebih 1.1 juta pengguna akaun melibatkan 1,279 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan empat LRA.

Kawasan tersebut merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.