Geng Mat Top aktif curi kenderaan terpakai tumpas

Geng Mat Top yang ditahan.- Foto Facebook IPD JBS
Geng Mat Top yang ditahan.- Foto Facebook IPD JBS
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lima ahli Geng Mat Top yang aktif mencuri kenderaan terpakai di sekitar bandar raya ini ditahan polis menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Ulu Tiram, dekat sini pada dua hari lalu serta semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

"Dalam operasi bermula jam 11.30 malam hingga 2 petang semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS membuat empat serbuan berasingan di sekitar kawasan Kota Tinggi dan Ulu Tiram.

"Hasil daripada serbuan itu seramai lima ahli Geng Mat Top yang giat aktif mencuri kenderaan terpakai di sekitar kawasan Johor Bahru berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenderaan yang dirampas selepas polis menahan Geng Mat Top yang aktif mencuri kenderaan terpakai.- Foto Facebook IPD JBS
Kenderaan yang dirampas selepas polis menahan Geng Mat Top yang aktif mencuri kenderaan terpakai.- Foto Facebook IPD JBS

Mohd Padzli berkata, susulan serbuan itu, polis merampas dua kunci kenderaan dan empat buah kereta dengan nilai keseluruhan rampasan RM30,000.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan jenayah curi kenderaan untuk dileraikan dan dijual secara berasingan.

"Semakan rekod jenayah mendapati tiga suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan kes dadah manakala dua suspek lagi tidak mempunyai rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan yang dibuat mendapati mereka ini telah aktif kira-kira enam bulan lalu," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.