Kuarters, Penjara Seremban dikenakan PKPD bermula esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban menjadi kawasan terbaharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai esok hingga 7 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu akan meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang melibatkan 2,080 penghuni.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 246 ujian saringan bersasar dan sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan di penjara ini.

"Justeru, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD yang sebelum ini dikenakan di Kuching, Sarawak; Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah; dan Putra Point Nilai, masing-masing dilanjutkan sehingga 27 November, 7 Disember dan 30 November depan.

Beliau berkata, PKPD di Kuching yang bermula 9 November dan sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan berikutan terdapat baki 58 kes aktif melibatkan beberapa kluster di daerah itu daripada 1,055 kes kumulatif positif Covid-19 yang dikesan setakat ini.

Di Kampung Sabah Baru, yang sebelum ini dikenakan PKPD sejak 10 November lalu sehingga esok, pula dilanjutkan berikutan terdapat 200 kes positif Covid-19 hasil 1,914 ujian saringan yang dilakukan sehingga 15 November.

Bagi PKPD di Putra Point Nilai, sebanyak 436 ujian saringan dilaksana dan 314 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti itu setakat ini. Ujian saringan kedua dilakukan hari ini dan pelanjutan tempoh itu adalah untuk menunggu semua keputusan sampel saringan kedua diperoleh, katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod Putra Point Nilai sebelum ini dikenakan PKPD bermula 28 Oktber lalu dan sepatutnya berakhir esok.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Taman Mesra, Sandakan, dan Plaza Hentian Kajang esok manakala di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang pada Rabu ini seperti dijadualkan.

Di Taman Mesra, Sandakan, beliau berkata, sehingga kini KKM melaksanakan 1,171 ujian saringan dan 174 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan, namun KKM mengesahkan hanya 43 kes aktif dicatat di lokaliti tersebut dalam tempoh 14 hari iaitu antara 8 hingga 21 November lalu.

Sementara di Plaza Hentian Kajang, KKM melaksanakan 5,752 ujian saringan dan sebanyak 462 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan sehingga semalam dan kesemua sampel saringan telah diperoleh dan tiada sampel yang masih menunggu keputusan.

Di Medan 88, Salak Tinggi, Ismail Sabri berkata, KKM mendapati situasi Covid-19 di lokaliti tersebut menunjukkan trend penurunan serta terkawal dan KKM melaksanakan 619 ujian saringan dan 56 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua penduduk di lokaliti berkenaan masih tertakluk kepada SOP PKPB yang dilaksanakan di seluruh Sabah dan Selangor.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 28 kilang Top Glove di Klang, Selangor ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani ujian saringan dan proses kuarantin.

Beliau berkata, pelaksanaan arahan tersebut akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan syarikat tersebut.

"KKM memaklumkan berlaku peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang tersebut. Sehingga hari ini, KKM melaksanakan 5,794 saringan dan sebanyak 1,889 kes positif Covid-19 direkodkan. Justeru, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja lelaki dan asrama pekerja wanita syarikat sarung tangan tersebut bermula 17 November lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 807 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) PKPP, semalam dengan 747 individu dikompaun manakala 52 direman dan lapan dijamin. - Bernama