Pengawal keselamatan maut rempuh MPV

Mangsa maut di tempat kejadian. - Foto ihsan pembaca
Mangsa maut di tempat kejadian. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Tasek Utama Ayer Keroh di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Jamil Said, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal, Alor Gajah menghala ke Ayer Keroh.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta MPV sedang membelok ke kawasan kilang sebelum mangsa tiba-tiba merempuh bahagian sisi sebelah kiri MPV jenis Toyota Wish.

"Akibat rempuhan itu, mangsa telah jatuh ke jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan," katanya.

Gambar lubang yang tular di media sosial dikatakan tidak ada kaitan dengan kemalangan tersebut.
Gambar lubang yang tular di media sosial dikatakan tidak ada kaitan dengan kemalangan tersebut.

Bagaimanapun, Hasan Basri berkata, pemandu MPV yang merupakan seorang wanita berusia 34 tahun itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kedua-dua kenderaan kini ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut," katanya.

Kenderaan MPV yang terlibat dengan kemalangan maut. - Foto ihsan pembaca
Kenderaan MPV yang terlibat dengan kemalangan maut. - Foto ihsan pembaca

Dalam pada itu, Hasan turut memaklumkan bahawa gambar jalan berlubang yang tular di media sosial hari ini dan dikatakan punca kemalangan maut itu berlaku adalah tidak benar.

Katanya, gambar tular itu tidak ada kaitan dengan kemalangan tersebut memandangkan lokasi kejadian dengan jalan berlubang tersebut jauh iaitu 100 meter daripada tempat kejadian.

"Jadi kita berharap masyarakat tidak menyebarkan fakta yang tidak sahih, kerana hasil siasatan kita jelas menunjukkan bahawa kemalangan itu tiada kaitan dengan jalan yang berlubang terbabit.

"Bagaimanapun, kita mengharapkan jalan berlubang tersebut dapat dibaiki dengan segera kerana ia boleh mengundang bahaya terutamanya kepada penunggang motosikal,"katanya.