Gegar gesa kerajaan lebih prihatin nasib pemandu teksi

Roslan (dua dari kiri) bersama Ketua Gegar, Aizat Safii (kiri) memberikan sumbangan kepada pemandu teksi menerusi program berkenaan di ruang parkir bersebelahan Melawati Mall hari ini.
Roslan (dua dari kiri) bersama Ketua Gegar, Aizat Safii (kiri) memberikan sumbangan kepada pemandu teksi menerusi program berkenaan di ruang parkir bersebelahan Melawati Mall hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Generasi Anak Reformasi (Gegar) menggesa kerajaan memberikan lebih perhatian terhadap nasib pemandu teksi yang terjejas ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Penasihatnya, Roslan Ismail berkata, langkah itu adalah wajar berikutan nasib pemandu teksi yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40 terjejas teruk selepas terputus sumber pencarian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Berikutan itu, Roslan berkata, kerajaan perlu menyediakan satu peruntukan yang komprehensif dan menyeluruh termasuk pemberian dana bantuan khas kepada pemandu-pemandu teksi di negara ini.

"Malaysia tidak lari daripada terpalit isu ekonomi dalam mendepani Covid-19 ini malah golongan masyarakat pertengahan dan bawahan lebih terkesan dengan penularan wabak ini.

"Oleh itu, Gegar menggesa kerajaan supaya lebih peka dan prihatin dengan permasalahan yang dihadapi rakyat di kala ini khususnya kepada pemandu-pemandu teksi yang terjejas," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Roslan turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 120 pemandu teksi sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak menerusi Program Gegar Peduli Pemandu Teksi yang berlangsung di ruang parkir bersebelahan Melawati Mall.

Menerusi program itu, pemandu teksi terlibat diberikan sumbangan barangan keperluan harian antaranya seperti beras, minyak, gula dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan program berkenaan, Roslan berkata, pihaknya telah mengutip sumbangan derma daripada orang awam sebelum ini untuk disalurkan kepada pemandu teksi yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Semoga dengan sumbangan ini serba sedikit dapat mengurangkan bebanan yang sedang ditanggung oleh pemandu-pemandu teksi ini," katanya.