Pemuda Amanah gesa tindakan tegas terhadap ahli keluar parti

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh pimpinan Pemuda Amanah kawasan, negeri dan nasional.
Kenyataan bersama dikeluarkan oleh pimpinan Pemuda Amanah kawasan, negeri dan nasional.
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan, negeri dan nasional menggesa kepimpinan parti tersebut mengambil pendirian tegas terhadap anggota parti yang menyertai parti lain.

Dalam satu kenyataan bersama oleh 34 orang pimpinan pemuda parti tersebut daripada seluruh negara hari ini, mereka berkata, tindakan tersebut penting bagi menghilangkan kegusaran dalam kalangan ahli parti tersebut.

“ Kami pimpinan akar umbi Pemuda Amanah kawasan, negeri dan nasional menyeru kepimpinan Amanah agar mengambil pendirian tegas terhadap tindakan individu (ahli parti) yang telah bertindak menyertai parti lain.

“Tindakan ini menyebabkan wujudnya suasana gusar dalam kalangan ahli.

Pada masa sama, kenyataan tersebut turut meminta pimpinan Amanah supaya terus kekal mendokong usaha untuk menjadikan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Kami juga menyokong pendirian Amanah untuk tidak menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seteru politik.

“Kami turut menggesa supaya pimpinan parti untuk terus menjalinkan hubungan dengan pihak pembangkang yang lain dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat pasca PRU-14 tanpa menggadaikan prinsip dan integriti,” katanya.

Terdahulu, Amanah Selangor memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar telah keluar daripada parti tersebut bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, Mohd Fakhrulrazi ketika dihubungi Sinar Harian bagi mengulas perkara tersebut menegaskan beliau masih bersama Amanah.

Difahamkan, tindakan ADUN Meru itu meninggalkan Amanah adalah sebagai respon beliau terhadap kekecewaannya berhubung sikap parti tersebut terhadap Anwar.

Namun, perkara itu disangkal Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menegaskan bahawa Amanah kekal bersama Anwar dalam usahanya untuk meyakinkan 222 ahli Parlimen supaya menyokong majoriti yang kukuh dan kerajaan yang stabil setelah Perikatan Nasional gagal memenuhinya.

Katanya, spekulasi yang mengatakan kononnya Amanah mengambil arus berbeza menyokong Dr Mahathir adalah tindakan berniat jahat memburukkan imej Amanah apatah lagi dengan serangan peribadi Presiden Amanah sebagai penyebab perpecahan parti ini.