UMNO Sabah terus sokong Zahid

Ghazalie Ansing
Ghazalie Ansing
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah yakin bahawa Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi akan mampu mencari jalan penyelesaian bagi setiap cabaran yang dihadapi parti itu.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, UMNO Sabah akan terus memberi sokongan kepada Zahid dan yakin beliau bijak dalam membuat sebarang keputusan demi kepentingan setiap ahli UMNO dan rakyat di negara ini.

"Kekuatan utama UMNO selama ini diletakkan pada tiga slogan iaitu 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat', justeru semangat perjuangan ini sentiasa menjadi pegangan untuk memberi dorongan kepada presiden terus bersuara demi rakyat dan terus memimpin.

"Dalam berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini, ketegasan suara pemimpin seperti Presiden UMNO perlu disokong kerana ia penting demi memastikan penderitaan rakyat dapat dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ghazalie menyeru agar semua pemimpin UMNO di negeri lain akan turut berdiri teguh di belakang Zahid.

"Kita telah melalui tempoh paling sukar selepas tewas pada 2018, kini kita kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung situasi yang berlaku dalam kalangan beberapa pemimpin UMNO berkaitan sokongan parti itu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Ini termasuk susulan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung kedudukan parti dalam PN baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan yang dibuat Annuar itu mendapat kritikan beberapa pemimpin UMNO lain termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr Puad Zarkashi.