PKPD: Rumah kongsi tapak pembinaan dipasang pagar kawat berduri

Sepasukan anggota tentera melakukan kerja pemasangan pagar kawat berduri di sekeliling rumah kongsi pekerja binaan di tapak pembinaan K-Avenue, Penampang hari ini.
Sepasukan anggota tentera melakukan kerja pemasangan pagar kawat berduri di sekeliling rumah kongsi pekerja binaan di tapak pembinaan K-Avenue, Penampang hari ini.
A
A
A

PENAMPANG - Rumah kongsi membabitkan seramai 222 pekerja binaan di tapak pembinaan K-Avenue di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas dikenal pasti wujud Kluster Avenue di kawasan berkenaan pada 17 November lalu.

Berikutan pelaksanaan PKPD itu, sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama askar wataniah diketuai Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim hari ini melakukan pemasangan pagar kawat berduri di sekitar blok rumah kongsi berkenaan.

Mohd Haris berkata, pemasangan kawat berduri itu dilakukan bagi memastikan tiada pergerakan keluar dan masuk melibatkan individu dalam siasatan (PUI) di kawasan terbabit.

"Proses pemasangan kawat di kawasan ini melibatkan keluasan kira-kira 6,000 meter persegi khusus untuk kawasan rumah kongsi sahaja yang dikenakan 'lockdown'.

"Seramai 222 individu membabitkan pekerja tapak pembinaan terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina yang dikenakan PKPD di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pemasangan pagar kawat berduri di lokaliti berkenaan hari ini.

Sepasukan anggota tentera melakukan kerja pemasangan pagar kawat berduri di sekeliling rumah kongsi pekerja binaan di tapak pembinaan K-Avenue, Penampang hari ini.
Sepasukan anggota tentera melakukan kerja pemasangan pagar kawat berduri di sekeliling rumah kongsi pekerja binaan di tapak pembinaan K-Avenue, Penampang hari ini.

Mohd Haris berkata, dari segi prosedur operasi standard (SOP) pula, PUI tidak dibenarkan keluar memandangkan tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian berbanding PKPD di kawasan penempatan lain di Sabah.

"Kita akan bekalkan makanan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB). PKPD ini berbeza dengan kawasan lain seperti penempatan Telipok atau Kampung Numbak, Kota Kinabalu di mana kawasan itu adalah perkampungan yang besar serta mempunyai kedai runcit.

Artikel Berkaitan:

"Tapi di sini tiada keperluan kerana khusus rumah kongsi saja dan mudah untuk dikawal. Jika mereka memerlukan bantuan, kita akan menghubungi majikan mereka. Kita akan pastikan mereka ini tidak keluar sehingga PKPD ini selesai sehingga 5 Disember depan," katanya.

Mohd Haris berkata, penugasan di lokaliti itu melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang akan bertugas 24 jam setiap hari mengikut syif.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kawasan terbabit hari ini mendapati pekerja tapak pembinaan di situ sudah dikuarantin sejak seminggu lalu selepas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian calitan terhadap mereka.

Jumaat lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bermula semalam berikutan 110 kes koronavirus (Covid-19) dicatatkan pada 16 November lalu.