X

Kindly register in order to view this article
!

Tamadun Sungai Batu perlu diangkat dengan kesungguhan

Nor Azrina Surip
A
A

KUALA LUMPUR - Tamadun Sungai Batu di Kedah perlu kesungguhan politik untuk diangkat sebagai salah satu mercu tanda dunia, kata Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip.

Nor Azrina yang juga Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Tapak Arkeologi Sungai Batu di kawasan berkenaan diketahui umum sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara.

Malah katanya, pakar-pakar arkeologis dunia juga pernah berkumpul pada tahun 2016 dan turut mengiktiraf tapak berkenaan sebagai tamadun terawal di dunia berbanding tapak Candi Borobudur dan Angkor Wat.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta pada tahun 2019 bagi membentangkan pelan pembangunan kepada kerajaan negeri bagi tujuan perlaksanaan.

"Namun, amatlah mendukacitakan apabila berlaku kelewatan perlaksanaan sehingga kini dan menjadi persoalannya apabila dalam lawatan menteri ke tapak arkeologi baru-baru ini telah memaklumkan peruntukan itu ditarik balik.

"Menteri memberikan alasan perlu kajian semula untuk peruntukan yang lebih sesuai diberikan selepas ini dan menyebutkan jumlah lebih besar iaitu sebanyak RM50 juta," katanya dalam kenyataan di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan menzahirkan kesungguhan untuk mengangkat Lembah Bujang sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan kadar segera sebagai khazanah penting negara seterusnya sebagai mercu tanda dunia.

"Keutamaan harus diberikan untuk membangunkan muzium arkeologi dan galeri bagi menyimpan khazanah dan artifak sejarah yang amat berharga ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!