'Hadir atau tidak ke Dewan Rakyat hak masing-masing'

Annuar ketika sidang media selepas lawatan sekitar Pasar Borong KL dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti Pasar Borong KL hari ini.
Annuar ketika sidang media selepas lawatan sekitar Pasar Borong KL dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti Pasar Borong KL hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan soal kehadiran ke Dewan Rakyat adalah hak individu bagi setiap ahli Parlimen.

Menurutnya, sama ada seseorang ahli Parlimen itu mahu hadir atau tidak, ia akan direkodkan dalam jadual kehadiran di Dewan Rakyat.

"Jika ada yang hadir tetapi tidak mahu mengambil bahagian dalam perbahasan, itu juga adalah hak masing-masing sebagai ahli Parlimen.

"Jika ada yang ambil keputusan untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat, saya tidak boleh komen apa-apa. Tetapi jika saya sebagai Ahli Parlimen Ketereh, tidak hadir atau ambil bahagian di Dewan Rakyat semasa ia berlangsung, sudah tentu penduduk di Ketereh akan menilai saya," katanya pada sidang media selepas lawatan sekitar Pasar Borong KL dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Mural Dan Graffiti Pasar Borong KL hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung surat yang tersebar di media sosial mengatakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li tidak akan mengambil bahagian pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 pada Khamis ini.

Surat terbabit yang ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan Tengku Razaleigh tidak akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan yang sedang diadakan di Parlimen kerana kerajaan sekarang masih belum disahkan melalui sidang Dewan Rakyat selain terikat dengan sumpah (ahli Parlimen) yang dilafazkan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li tidak ambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021

Dalam pada itu, Annuar juga menegaskan tidak ada sebab untuk mana-mana ahli Parlimen menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 yang akan melalui proses pengundian pada Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika belanjawan tersebut tidak mendapat kelulusan ia akan menyukarkan kerajaan untuk membuat pindaan dan penambahbaikan mengikut kehendak majoriti.

"Ketika ini perbahasan berlaku di peringkat dasar dan tiada sebab untuk sesiapa menolak belanjawan, sebab apa yang sedang dibincangkan dan akan diundi itu hanya bacaan kali kedua, iaitu perbincangan peringkat dasar.

"Syor-syor yang kita nak suruh baiki, suruh ubah pada bil (RUU) yang ada di atas meja itu tidak spesifik, hanya dasar. Sebagai contoh, ada yang tak suka peruntukan Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) berjumlah RM89 juta, jadi kalau nak ubah kena lulus dulu di peringkat dasar baru pergi ke peringkat jawatankuasa.

"Jika tidak lulus di peringkat dasar, maka tiada peluang untuk ubah dan baiki," katanya.