Pencemaran Sungai Muda: Empat pekerja kontrak didakwa

Empat pekerja kontrak dituduh di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini kerana menyebabkan pencemaran Sungai Muda pada 12 November lalu.
Empat pekerja kontrak dituduh di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini kerana menyebabkan pencemaran Sungai Muda pada 12 November lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Empat pekerja kontrak warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan menyebabkan pencemaran air Sungai Muda, dua minggu lalu.

Tertuduh, Dedi Hardianto, 32; Bestian, 38; Andika Safutra, 32; dan Ade Pitria, 33; dituduh bersama-sama dengan sengaja melakukan pencemaran air Sungai Muda dengan minyak diesel sehingga menyebabkan pencemaran di muka sauk Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau, Gurun.

Perbuatan itu dilakukan lebih kurang jam 3.55 petang bertempat di Kilometer 17 Jalan Kalai, Gajah Putih, Sik 12 November 2020.

Disebabkan itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Disember depan bagi memanggil jurubahasa Indonesia memandangkan kesemua tertuduh tidak memahami dengan jelas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin rakyat tempatan serta syarat tambahan iaitu pasport dan permit kerja perlu diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik pada setiap 23 hari bulan sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tumpahan minyak di Sungai Muda: Tujuh individu direman