Pegawai kanan tentera, pesara didakwa pecah amanah RM920,000

Seorang pegawai kanan tentera Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dan seorang pesara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta berhubung skim pelaburan tidak wujud. - Foto 123RF
Seorang pegawai kanan tentera Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dan seorang pesara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta berhubung skim pelaburan tidak wujud. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan tentera Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan seorang pesara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta berhubung skim pelaburan yang tidak wujud berjumlah RM920,000.

Pengarah akademi, Leftenan Kolonel Azman Mohamed Yasin, 57, dan bekas komandan akademi, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka yang ketika itu masing-masing pengarah dan komandan akademi tersebut didakwa telah melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM500,000 dan RM420,000 milik Tabung Kebajikan Akademi untuk pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar dan tidak sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di akademi tersebut di UPNM, Kem Perdana Sungai Besi di sini antara 3 Ogos dan 23 September 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu masing-masing turut didakwa atas pertuduhan pilihan menyalahgunakan RM500,000 dan RM420,000 di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shafini Mustafha menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Azman yang diwakili peguam Mohd Amir Aizat Abdul Rani memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain gaji yang diperoleh sebagai pengarah akademi tersebut.

“Anak guam saya masih menanggung isteri serta empat anaknya dan beliau juga sedang dibicarakan di Mahkamah Tentera berkaitan tuduhan hari ini. Saya mohon jaminan rendah dibenarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Adkaa yang diwakili peguam Nur Asyikin Zakaria memohon jaminan dibayar secara berkala sebelum atau pada 7 Disember kerana dia hanya mampu membayar RM15,000 pada hari ini dan menggunakan wang pencen untuk meneruskan kehidupan.

“Anak guam saya juga mengalami penyakit lemah jantung dan masih mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini. Beliau juga tidak pernah gagal melapor diri di pejabat SPRM sejak direman pada Februari tahun ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap 1 hari bulan di pejabat SPRM berdekatan serta turut membenarkan permohonan Mohd Adkaa untuk membayar baki jaminan pada atau sebelum 7 Disember.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Disember. - Bernama