Biden umum barisan Kabinet esok

Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan mengumumkan Kabinetnya yang pertama pada Selasa ini. - Foto AFP
Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan mengumumkan Kabinetnya yang pertama pada Selasa ini. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan menamakan Kabinetnya yang pertama esok, kata Ketua Stafnya, Ron Klain kepada stesen televisyen ABC semalam.

Biden telah meneruskan persediaannya untuk mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari tahun depan walau apa pun tindakan Presiden AS, Donald Trump yang dikatakan cuba untuk menafikan keputusan pilihan raya presiden negara itu pada 3 November lalu.

"Anda akan melihat Kabinet pertama Presiden AS yang dipilih pada hari Selasa minggu ini," kata Klain kepada program terbitan stesen televisyen terbitan ABC "This Week" semalam.

Beliau enggan menyatakan portfolio yang akan diumumkan Biden walaupun pada minggu lalu, Biden menyatakan sudah mengenal pasti individu yang akan memegang jawatan penting sebagai Setiausaha Perbendaharaan.

Semakin ramai anggota Republikan telah mengiktiraf kemenangan Biden dan mendesak Pentadbiran Perkhidmatan Umum yang menguruskan birokrasi Persekutuan untuk mengeluarkan dana bagi bakal Presiden AS itu melaksanakan peralihan pentadbiran.

Berikutan keengganan Trump untuk mengiktiraf keputusan pilihan raya tersebut, Biden dan pembantu-pembantu utamanya tidak dibenarkan diberikan taklimat dalam isu-isu domestik dan dasar luar yang sensitif terutamanya mengenai pandemik koronavirus (Covid-19).

Bekas Gabenor New Jersey, Chris Christie yang menasihatkan Trump tentang proses peralihan pentadbiran pada tahun 2016 berkata kepada stesen televisyen ABC bahawa pasukan perundangan Presiden AS merupakan satu "keaiban kebangsaan" dan sudah tiba masanya Pentadbiran Perkhidmatan Umum itu mengeluarkan dana untuk peralihan pentadbiran tersebut.

Trump dilaporkan telah bermain golf pada setiap hujung minggu sejak pilihan raya Presiden itu berakhir walaupun beliau mengambil bahagian pada minggu lalu dalam persidangan Kumpulan Negara 20 (G20) secara maya dengan berucap mengenai perdagangan, cukai, tenaga, kata Rumah Putih.

Artikel Berkaitan:

Arab Saudi menjadi tuan rumah dalam persidangan G20 kali ini.

Senator North Dakota, Kevin Cramer semalam bertindak mempertahankan tindakan Trump bagi memastikan pilihan raya presiden itu diadakan secara adil tetapi berkata kepada stesen televisyen NBC bahawa beliau sedia menerima seorang bakal presiden yang mempunyai masa lebih sehari untuk melakukan persediaan (sebagai Presiden AS).

Semalam, Trump sekali lagi membuat kenyataan di Twitter bahawa terdapat "penipuan besar-besaran dan tidak dijangkakan".

Bagaimanapun, penekanan Presiden AS itu telah dinafikan oleh beberapa hakim di beberapa buah negeri.

Seorang hakim di Pennsylvania pada Sabtu lalu menolak dakwaan Trump bahawa berlaku penipuan undi di negeri tersebut.

Setakat ini, Biden dilaporkan oleh media AS memenangi undi elektoral apabila memperoleh 306 undi berbanding Trump sebanyak 232 undi.

Sebanyak 270 undi daripada 538 undi elektoral diperlukan untuk menjadi Presiden AS. - AFP