Pelajar institut tahfiz cari duit poket cuci kereta

Muhammad Mustaqim menawarkan servis cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah
Muhammad Mustaqim menawarkan servis cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah
A
A
A

SEREMBAN - Berbekalkan modal RM200, seorang pelajar di sebuah institut tahfiz di negeri ini ambil inisiatif mencari duit poket ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menawarkan perkhidmatan cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah.

Muhammad Mustaqim Mohd Nor, 20, yang sedang menyambung pengajian dalam bidang Diploma Tahfiz dan Qiraat memulakan perkhidmatan itu sejak Isnin lalu di kawasan sekitar Seremban dan Port Dickson.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana dia tidak dapat pulang ke kampungnya di Sandakan, Sabah.

"Saya terfikir daripada duduk saja di rumah tanpa berbuat sesuatu, lebih baik saya mencari duit poket sendiri dengan menawar perkhidmatan cucian dan penjagaan kereta.

"Lagipun saya memang suka mencari pendapatan sendiri dengan melakukan bisnes. Sebelum ini saya pernah menjual jeruk dan coklat secara dalam talian dan pendapatan itu dapat membantu perbelanjaan di kolej," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Mustaqim
Muhammad Mustaqim

Bagi memastikan servis ditawarkan memenuhi standard cucian dan penjagaan kereta yang sebenar, Muhammad Mustaqim mempelajarinya menerusi YouTube dan mencari maklumat di Internet.

Katanya, perkhidmatannya menerima sambutan menggalakkan sejak seminggu memulakan operasi itu dan mengiklankannya di Facebook.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai mungkin tidak mahu keluar terutama pandemik Covid-19 dan perkhidmatan yang saya lakukan memudahkan orang ramai.

"Caj bagi mencuci kereta luar dan dalam ialah RM15 tetapi bergantung kepada saiz kereta manakala untuk menggilap ialah antara RM60 ke RM100," katanya.

Muhammad Mustaqim menawarkan servis cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah
Muhammad Mustaqim menawarkan servis cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah

Selain itu katanya, dia menawarkan servis itu pada setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang dan menerima sekurang-kurangnya empat pelanggan dalam sehari.

"Mereka digalakkan membuat tempahan lebih awal," katanya yang mempunyai impian untuk mencipta aplikasi khusus bagi perkhidmatan berkenaan suatu hari nanti.

Muhammad Mustaqim bersyukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan berbangga kerana kini mampu berdikari selepas meminta pertolongan modal daripada bapanya untuk memulakan perniagaan itu.

Muhammad Mustaqim menawarkan servis cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah
Muhammad Mustaqim menawarkan servis cucian dan penjagaan kereta dari rumah ke rumah