Pegawai kanan, bekas komandan tentera tak mengaku pecah amanah

Seorang pegawai kanan dan seorang bekas komandan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah.
Seorang pegawai kanan dan seorang bekas komandan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan dan seorang bekas komandan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan dana Tabung Kebajikan Akademi Latihan Ketenteraan berjumlah RM920,000 pada 2016 lalu.

Leftenan Kolonel Azman Mohamad Yasin, 57, selaku Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Brigadier Jeneral (B), Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 63, sebagai bekas Komandan Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan pertama yang dibaca secara berasingan, kedua-dua tertuduh didakwa selaku seorang ejen (ketika itu) yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu dana bagi akaun tabung itu, didakwa pecah amanah dengan curangnya meluluskan pembayaran sebanyak RM500,000 untuk satu pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar/sah.

Kesalahan didakwa dilakukan di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, di sini pada 3 Ogos 2016.

Atas pertuduhan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa atas tuduhan pilihan pertama iaitu menyalahgunakan dana terbabit dan didakwa mengikut Seksyen 403 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan serta denda.

Sementara pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana tabung sama berjumlah RM420,000 bagi pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar, di lokasi sama pada 23 September 2016, dan dipertuduhkan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Mereka juga didakwa atas tuduhan pilihan kedua iaitu menyalahgunakan dana terbabit dan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurshafini Mustafha dan Nor Diana Nor Azwa mencadangkan kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin masing-masing sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Nurshafini berkata, pihak pendakwaan juga memohon agar mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

“Jumlah itu bersesuaian kerana ia untuk kesemua pertuduhan malah jumlah itu menggambarkan kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius iaitu mengambil kira kedudukan tertuduh ketika tarikh kejadian berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Amiraizat Abdul Rani dan Nurasyikin Zakaria merayu agar mereka diberi ikat jamin pada kadar yang minimum.

Muhammad Amiraizat berkata, Azman mempunyai penyakit jantung serta perlu menjaga isteri, empat anak dan ibu yang lumpuh.

“Anak guam saya masih lagi berkhidmat dalam ATM dan tidak mempunyai sumber lain selain gaji bulanannya.

“Dia juga telah dituduh atas kes yang berkaitan dengan kes ini di Mahkamah Tentera, maka pihak kami memohon agar jumlah jaminan itu dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara Nurasyikin berkata, anak guamnya, Mohamad Adkaa perlu menanggung isteri yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dan anak yang menuntut di India.

“Pihak kami berharap jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guam saya merupakan seorang pesara dan mengharapkan wang pencen,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mahyon membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin, selain memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Bagi Mohamad Adkaa, Mahyon membenarkan tertuduh membayar wang jaminan RM15,000 pada hari ini dan bakinya RM65,000 perlu dijelaskan sebelum 7 Disember depan.

Mahkamah menetapkan 22 Disember ini sebagai sebutan semula kes.