Mangsa banjir meninggal dunia

Allahyarham Yusli Yusof (kiri) meninggal dunia hari ini.
Allahyarham Yusli Yusof (kiri) meninggal dunia hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang mangsa banjir meninggal dunia selepas rebah berhampiran kediamannya di Kampung Chepor Dalam, Chemor, di sini pagi tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Yusli Yusof, 56, dikatakan sempat berbual dengan beberapa penduduk yang juga mangsa banjir di situ sebelum dilihat kelelahan dan terbaring di atas jalan.

Mangsa yang berada dalam keadaan separa sedar sempat dibawa ke hospital oleh ahli keluarga, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sana.

Anak sulung mangsa, Muhammad Syafiq Yusra, 28, berkata, sebelum kejadian bapanya tidak tidur semalaman kerana bimbang rumah dinaiki air akibat banjir melanda kawasan itu sejak jam 12 tengah malam tadi.

Suasana pilu di kawasan kediaman Allahyarham Yusli Yusof yang meninggal dunia hari ini.
Suasana pilu di kawasan kediaman Allahyarham Yusli Yusof yang meninggal dunia hari ini.

"Mungkin juga ayah penat sebab dia berjaga sepanjang malam, takut kalau air masuk ke dalam rumah kerana kebetulan depan rumah kami ada parit kecil dan air dah naik tinggi.

"Pagi tadi ayah memang hendak keluar untuk menghantar saya buat pemeriksaan kaki di hospital, ketika jalan menuju ke kereta dia menyapa penduduk yang ada di situ.

"Ketika itulah dia tiba-tiba terduduk dan terbaring seperti dalam keadaan kepenatan," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, banjir di kawasan itu menyebabkan kediaman mereka dinaiki air hampir separas lutut.

Bagaimanapun katanya, kedudukan lantai rumah yang tinggi, menyekat air masuk ke dalam rumah.

"Hanya garaj kereta dan bahagian dapur sahaja yang dinaiki air, bahagian lain masih selamat, sebab itu kami hanya duduk diam di rumah dan tidak berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) yang disediakan," katanya.

Keadaan banjir di Sri Desa Chepor yang turut menyebabkan beberapa kenderaan milik penduduk rosak ditenggelami air.
Keadaan banjir di Sri Desa Chepor yang turut menyebabkan beberapa kenderaan milik penduduk rosak ditenggelami air.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Chepor Dalam, hari ini.

Dalam pada itu, banjir di kawasan berkenaan menyebabkan 14 mangsa daripada tujuh keluarga di sekitar Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Sri Desa Chepor telah dipindahkan selepas kediaman masing-masing dinaiki air hampir satu meter.

Kesemua mereka ditempatkan sementara di Dewan Seri Chepor yang dibuka pada jam 2.30 pagi tadi.

Hujan lebat berterusan sejak jam 2 petang semalam menyebabkan paras air naik mendadak dan turut mengakibatkan beberapa kenderaan milik penduduk rosak apabila tidak sempat diselamatkan.

Penduduk, Noor Azlinda Abdul Rahman, 36, berkata, sebaik menyedari keadaan banjir itu, dia cuba membawa kereta jenis Perodua Viva miliknya ke lokasi selamat, namun gagal apabila laluan keluar sudah ditenggelami air separas pinggang.

Misron Kordi, 64, melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kediamannya di Kampung Chepor Dalam, Chemor dinaiki air akibat banjir hari ini.
Misron Kordi, 64, melakukan kerja-kerja pembersihan selepas kediamannya di Kampung Chepor Dalam, Chemor dinaiki air akibat banjir hari ini.

"Hanya dua motosikal sempat diselamatkan sementara kereta saya sudahpun tenggelam, banjir kali ini agak teruk kerana sekelip mata sahaja paras air sudah tinggi.

"Saya sendiri tak sempat nak selamatkan apa-apa, datang ke PPS ini pun sehelai sepinggang," katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana dapat bertindak pantas membawa keluar anak perempuannya berusia 5 tahun dan kedua ibu bapanya masing-masing berusia 62 dan 73 tahun dari rumah berkenaan.

"Suami saya kebetulan berada di rumah mertua, jadi sebaik tahu mengenai banjir, dia datang meredah banjir membawa anak kami dan kemudiannya ibu bapa saya ke tempat selamat," katanya.

Setakat jam 1 petang tadi, keadaan banjir di kawasan itu mula pulih dan penduduk mula menjalankan kerja pembersihan di kediaman masing-masing.

Mangsa banjir, Sharifah Sukatiau, 59, terpaksa mencedok air keluar dari kediamannya di Kampung Chepor Dalam, Chemor akibat kejadian banjir yang melanda kawasan RPT Sri Desa Chepor hari ini.
Mangsa banjir, Sharifah Sukatiau, 59, terpaksa mencedok air keluar dari kediamannya di Kampung Chepor Dalam, Chemor akibat kejadian banjir yang melanda kawasan RPT Sri Desa Chepor hari ini.