Covid-19: Kerajaan Pusat digesa henti operasi kilang Top Glove

Mohd Fakhrulrazi memuat naik kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini.
Mohd Fakhrulrazi memuat naik kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini.
A
A
A

KLANG - Kerajaan Pusat dirayu agar menghentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin memandangkan kadar kes Covid-19 setakat ini amat membimbangkan.

ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, kes kluster Jalan Teratai di Meru semakin memburukkan keadaan dan amat membimbangkan semua warga Meru dan pekerja tempatan di Top Glove sendiri.

"Saya selaku wakil rakyat Meru memohon dan merayu supaya kerajaan Pusat menghentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin.

"Keselamatan penduduk Meru lebih utama sekarang daripada keuntungan kilang Top Glove," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Selangor mencatat 603 kes positif baharu koronavirus (Covid-19) setakat jam 12 tengah hari semalam.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dimuat naik di Facebooknya memaklumkan, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 9,752 kes.

Menurut kenyataan itu, 602 daripada kes baharu dilaporkan semalam adalah jangkitan tempatan manakala satu lagi jangkitan luar negara.

"Punca kes baharu pada hari ini (semalam) adalah 536 kluster sedia ada (504 daripada Kluster Teratai).

Artikel Berkaitan:

"Lain-lain punca adalah daripada saringan kontak rapat (27 kes), lain-lain saringan Covid-19 (39 kes) dan satu merupakan kes import," menurut kenyataan itu.