Surau kerugian RM80,000 akibat banjir

Kawasan projek landasan kereta api elektrik didakwa menjadi punca banjir di Surau Ar Rahman di Kampung Dato Onn Jaafar, Larkin Jaya, Johor Bahru kelmarin.
Kawasan projek landasan kereta api elektrik didakwa menjadi punca banjir di Surau Ar Rahman di Kampung Dato Onn Jaafar, Larkin Jaya, Johor Bahru kelmarin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Surau Ar Rahman di Kampung Dato Onn Jaafar, Larkin Jaya di sini rosak teruk dan mengalami kerugian RM80,000 akibat banjir kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Ar Rahman, Datuk Dr Ghazali Ismail, 60, mendakwa, banjir itu berpunca daripada projek landasan kereta api elektrik yang dibina bersebelahan surau tersebut.

"Sebelum ini banjir tidak pernah berlaku namun hujan lebat selama dua jam bermula pada jam 1.30 petang Sabtu lalu mengakibatkan banjir di kawasan ini.

"Kita percaya punca banjir disebabkan pembinaan pembetung bawah tanah yang melintasi laluan rel tidak cukup besar ditambah lagi dengan kehadiran sampah sarap yang menyekat aliran air keluar ke anak Sungai Sebulung," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Beliau kesal kerana pihak yang mengendalikan projek berkenaan tidak peka dengan kawasan berdekatan dan seakan melaksanakan kerja-kerja pembinaan tanpa mengikut spesifikasi yang betul.

Jelasnya, akibat banjir tersebut, bukan sahaja bahagian dalam dan luar surau dimasuki air lumpur dan tanah yang kotor tetapi juga permaidani dan banyak peralatan di bahagian luar rosak.

"Ini termasuk kebun sayur, kolam ternak ikan dan udang serta rumah sewa berhampiran surau ini turut terjejas," katanya.

Sementara itu, Setiausaha surau tersebut, Sharom Othman, 64, berkata, pihak yang bertanggungjawab terutama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) perlu melakukan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, langkah tersebut bagi memastikan tidak berlaku lagi banjir di kawasan berkenaan termasuk pihak kontraktor disarankan membesarkan lagi pembetung air sedia ada dengan segera.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di tapak projek tersebut mendapati jarak antara surau dan projek berkenaan hanya kira-kira 20 meter manakala pembetung pula kedudukannya kira-kira tiga meter.