Tinggal sehelai sepinggang

Kediaman Ramlah yang musnah dalam kebabakaran semalam di pondok Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang, Pokok Sena. (Gambar kecil: Ramlah Abdullah)
Kediaman Ramlah yang musnah dalam kebabakaran semalam di pondok Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang, Pokok Sena. (Gambar kecil: Ramlah Abdullah)
A
A
A

POKOK SENA - "Semasa saya tiba di kawasan rumah tengok bomba sedang berusaha memadamkan apinya. Tiada apa yang dapat diselamatkan dari rumah kami yang dibina pada 1996 itu. Kami kini tinggal sehelai sepinggang," kata mangsa kebakaran, Ramlah Abdullah, 64 ketika ditemui di pondok Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang dekat sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian petang semalam, dia bersama anaknya berada di Kuala Nerang kerana mempunyai urusan di sana.

"Saya mengetahui kejadian kebakaran melalui anak, Mohd Fairozi Mohd Tajudin, 34 yang menelefon saya. Ini adalah kejadian kebakaran kali kedua berlaku dalam hidup saya di sini. Kali pertama adalah kebakaran besar melibatkan banyak pondok pada tahun 1963 semasa saya berumur 7 tahun.

"Saya dan anak-anak kini menumpang di rumah kakak di Kampung Minangkabau, dekat sini," katanya.

Ramlah berkata, sebuah kereta dan dua buah motosikal milik keluarganya turut musnah dalam kejadian itu dan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM120,000.

Seorang lagi mangsa, Mohd Zuhairi Abd Rashid, 38 berkata, ketika kejadian dia sedang tidur manakala ibunya, Sopiah Ismail, 67 sedang solat zohor.

"Saya terkejut dari tidur selepas mendengar jiran menjerit api...api...api...di hadapan rumah sebelum saya bergegas bangun untuk padamkan api bermula dari rumah kosong yang dijadikan stor di belakang rumah saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuhairi memeriksa barangan yang masih boleh digunakan selepas rumahnya terlibat dalam kebakaran semalam di pondok Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang, Pokok Sena.
Mohd Zuhairi memeriksa barangan yang masih boleh digunakan selepas rumahnya terlibat dalam kebakaran semalam di pondok Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang, Pokok Sena.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhairi berkata, jiran-jirannya turut membantu memadamkan api yang sedang marak di rumah kosong tersebut sebelum kebakaran yang berlaku kira-kira 3.15 petang semalam itu menyambar tiga buah rumah yang berhampiran.

"Waktu itu hujan renyai-renyai. Sebelum kebakaran jiran-jiran kata bunyi guruh dan kilat kuat. Mungkin rumah kosong itu mengalami litar pintas disebabkan kilat menyebabkan kebakaran berlaku.

"Saya sempat juga menyelamatkan beberapa barang-barang penting di tingkat bawah manakala barang-barang di tingkat atas tidak dapat diselamatkan. Barang-barang jiran dua rumah lagi gagal diselamatkan kerana mereka tiada di rumah semasa kejadian," katanya.

Mohd Zuhairi berkata, kerugiaan yang dialami mereka adalah sekitar RM80,000 selepas rumah peninggalan datuknya yang berusia kira-kira 50 tahun musnah itu dalam kebakaran.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang semalam.

"Semasa bomba tiba, api marak membakar tiga rumah dua tingkat dan sebuah rumah setingkat. Turut terbakar, dua kenderaan jenis Naza Kia dan Proton selain lima motosikal," katanya.