Rugi RM52,500 diperdaya sindiket pinjaman tak wujud

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu lori kerugian sebanyak RM52,500 akibat terperdaya sindiket pinjaman tidak wujud selepas membuat 19 kali transaksi di internet.

Mangsa berusia 43 tahun itu diperdaya ahli sindiket terbabit selepas melihat satu iklan pinjaman wang di Facebook pada 17 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang tertera dalam iklan terbabit kerana berhasrat untuk membuat pinjaman peribadi.

"Selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Mudah Chong dan bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM10,000.

"Suspek meminta mangsa memberikan maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan, penyata bank dan penyata gaji selama tiga bulan terkini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa menghantar dokumen yang diperlukan itu kepada suspek bagi membolehkan pinjamannya diproses.

"Pada 4 November sehingga Sabtu lalu, suspek telah meminta mangsa membuat pelbagai pembayaran bagi mendapatkan wang pinjaman.

"Susulan itu, mangsa telah membuat 19 kali transaksi berjumlah RM52,500 kepada tiga akaun milik suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, bagaimanapun, mangsa tidak menerima wang pinjaman yang dijanjikan sehingga hari ini.

"Justeru, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut semalam," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.