'Gred KP19 bukan kerani'

Amir Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan salinan komik dalam talian yang memperlekeh kumpulan pembantu tadbir yang tular pada sidang akhbar di Pejabat AUEGCAS Perak, Ipoh hari ini.
Amir Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan salinan komik dalam talian yang memperlekeh kumpulan pembantu tadbir yang tular pada sidang akhbar di Pejabat AUEGCAS Perak, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Kebangsaan kesal apabila kumpulan pembantu tadbir atau kerani dikaitkan dalam kes siasatan pegawai kerajaan Gred KP19 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, pegawai gred yang sedang disiasat oleh SPRM tidak termasuk dalam kumpulan pembantu tadbir perkeranian dan kewangan tetapi mereka di bawah skim perkhidmatan lain.

Beliau berkata, tindakan pihak tertentu menyamakan Gred KP19 tersebut sebagai kerani mengundang kecaman orang ramai khususnya netizen yang memperlekeh tugas pembantu tadbir di dalam Gred N (pentadbiran) dan W (kewangan).

"Kami bukan kerani yang disebutkan dan gred 19 yang dinyatakan itu bukan kerani. Jadi kami mewakili hampir 200,000 penjawat awam di dalam skim ini menafikan dan memohon agar kenyataan itu ditarik balik atau dikemukakan permohonan maaf.

"Perkara ini amat mengecewakan dan kami di semua jabatan kerajaan terkilan dengan penyiaran berita yang tidak pasti lagi individu disiasat itu bersalah atau tidak. Apa yang pasti kami sudah dikecam masyarakat seolah-olah pembantu tadbir yang lakukan perbuatan itu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat AUEGCAS Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita yang menyebut kerani terlibat di dalam siasatan Op Selat oleh SPRM baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengerusi AUEGCAS Perak, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman.

Amir Hamzah berkata, lebih menyedihkan lagi apabila berita tidak benar itu turut dijadikan bahan jenaka dan satira dalam bentuk komik digital seperti yang tular seolah-olah perkhidmatan pembantu tadbir atau kerani ini korup.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kumpulan pembantu tadbir itu merupakan tulang belakang kepada kerajaan menguruskan segala hal berkaitan gaji dan pentadbiran jabatan termasuklah kepada golongan petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, paling mengecewakan penularan cerita tidak benar itu berlaku ketika kumpulan skim ini sedang menantikan penambahbaikan gred oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ini bukan sebab nila setitik rosak susu sebelanga, malah nila itu pun bukan nila kami, bukan warna kami. Jadi kami tidak mahu penambahbaikan yang sedang diteliti oleh JPA akan tercicir sekali lagi.

"Kami mengharapkan perkara ini diperbetulkan semula kerana bukan sahaja maklumat disiarkan itu tidak tepat malah tak betul pun," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Op Selat yang mendedahkan kepincangan di pintu masuk sempadan negara, menyaksikan sehingga pegawai daripada gred terendah KP19 yang bersekongkol dengan sindiket kemasukan warga asing ke dalam negara secara haram, disediakan dengan kenderaan mewah seperti Rolls Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi oleh sindiket berkenaan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, kesemua kereta itu didaftarkan atas nama dua warga China, dipercayai ejen pekerja asing China di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan pegawai imigresen, tiga ejen, rampas empat kereta mewah