Sukarelawan Yadim sedia hadapi banjir

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM – Pasukan Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersiap sedia membantu masyarakat yang memerlukan bagi menghadapi musim tengkujuh ini.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, kerjasama Sukarelawan Yadim dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Majlis Amal Islami Malaysia - Yadim (MAIM) akan membentuk kolaboratif tindakan yang mantap dan berkesan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, Yadim negeri akan membuka bilik gerakan dan menyusun sukarelawan bagi membantu kerajaan menyalurkan khidmat yang diperlukan dalam tempoh berkenaan.

“Kemungkinan besar cabaran lebih getir kerana musim tengkujuh tahun ini dalam suasana negara masih berdepan dengan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

“Justeru kita harap semua dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga. Paling utama ialah mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yadim turut mencadangkan kerajaan atau pihak tertentu tidak menganjurkan aktiviti yang melalaikan masyarakat.

“Kita tidak mahu mendidik diri dan masyarakat bersikap hipokrit di hadapan ALLAH SWT. Apabila tangan menadah ke langit mohon dihindari musibah, tetapi kaki melangkah dan mata tertumpu ke arah maksiat dan mungkar,” kata beliau.

Dalam masa sama, beliau berkata, Yadim juga akan memulakan aktiviti siap siaga dengan siri solat dan munajat di seluruh negara supaya negara dan rakyat selamat daripada musibah.

Artikel Berkaitan: