JKKP keluar notis larangan

Siasatan dijalankan JKKP di lokasi kejadian, semalam.
Siasatan dijalankan JKKP di lokasi kejadian, semalam.
A
A
A

IPOH - Satu notis larangan telah dikeluarkan terhadap sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kawasan Perindustrian Bercham di sini kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat hingga mengakibatkan kematian seorang pekerjanya, Sabtu lalu.

Notis dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak itu selepas siasatan awal dijalankan mendapati berlaku kecuaian bagi aktiviti kerja di satu mesin di bahagian pengeluaran.

Pengarah JKKP negeri, Ir Zamzurin Maarof berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu terhadap jalur pengeluaran tersebut sehingga siasatan lanjut dan tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan.

"JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa warga Myanmar berusia 35 tahun sedang menjalankan kerja mencuci lebihan sarung tangan yang melekat pada acuan sarung tangan dengan masuk ke bahagian bawah mesin Transfer Line di jalur pengeluaran tersebut.

Menurutnya, sistem beroperasi secara automatik di jalur pengeluaran tersebut menyebabkan kepala mangsa tersepit di antara mesin Transfer Line dan Chargement Line.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Zamzurin berkata, kejadian seumpama itu boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Artikel Berkaitan:

Katanya, majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kilang maut tersepit mesin