Naib Canselor baharu UniSZA mulakan tugas hari ini

Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
A
A
A

KUALA NERUS - Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) keempat bagi tempoh bermula 1 Februari 2019 hingga 31 Januari 2022.

Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu memulakan tugasnya hari ini bagi menggantikan Datuk Prof Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Kuwait (1987); Sarjana (Kesusasteraan) Universiti St Andrews, Scotland (1992) dan mendapat Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh (2000).

Dalam kenyataan UniSZa kepada media, antara kerjaya awal Naib Canselor UniSZA yang baharu itu adalah penterjemah Kedutaan Malaysia di Kuwait dan pembantu penyelidik Kuwait Zakat House.

"Sebagai ahli akademik, beliau memulakan tugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (1987-2011) sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Malaysia, Cairo University Mesir (2007-2011).

"Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai profesor di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

"Prof Datuk Dr Hassan Basri amat aktif dalam penulisan ilmiah dengan lebih 30 buah buku/bab buku dan 20 jurnal akademik dan prosiding yang ditulis oleh beliau diterbitkan di Malaysia dan antarabangsa.

"Selain itu, beliau turut aktif memberi konsultansi sebagai pensyarah pelawat, penilai luar dan ahli lembaga penasihat akademik kepada beberapa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hassan memulakan tugasnya hari ini bagi menggantikan Ahmad.
Hassan memulakan tugasnya hari ini bagi menggantikan Ahmad.

Hassan turut dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Ahli Majlis Perundingan Islam (MPI) pada 2014, Ketua Panel Menggubal Kurikulum Bahasa Arab bagi Sekolah Agama di Malaysia, Lembaga Pendidikan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2012-2015) dan merupakan ahli alumni Yayasan Fulbright, Amerika Syarikat sejak 2007.

Dalam pada itu, beliau juga amat aktif dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Askar Wataniah dan dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia (berkhidmat melebihi 15 tahun) oleh Kementerian Pertahanan (2006).

"Hassan juga merupakan Pegawai Memerintah (Commanding Officer) Batalion 516, Regimen Askar Wataniah Malaysia dan Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaya (UM) dan USIM.

"Pengurusan dan seluruh warga UniSZA juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof Dr Ahmad Zubaidi atas khidmat bakti beliau sebelum ini.

"Ucapan penghargaan dan tahniah kepada Prof Datuk Dr Hassan Basri atas pelantikan beliau ke jawatan ini dan selamat bertugas," katanya.