Melaka catat jumlah tertinggi mangsa banjir

Keadaan banjir di Kampung Gadek, Alor Gajah, Melaka pada Sabu lalu. - Foto Bernama
Keadaan banjir di Kampung Gadek, Alor Gajah, Melaka pada Sabu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan Melaka mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 520 orang mangsa setakat jam 8 pagi hari ini.

Nadma dalam satu laporan yang dimuat naik di Facebook berkata, jumlah tersebut diikuti dengan Selangor seramai 157 orang, Perak (142), Pahang (99) dan Johor (69).

Selain itu, sebanyak lima pusat pemindahan baharu dibuka semalam di Pahang iaitu di Balairaya Bukti Pampong, Balairaya Kampung Ulu Jelu, Balairaya Masjid Kuala Temau, Dewan Serbaguna Kampung Pia dan Kampung Durian Sebatang yang turut mendorong peningkatan kes di negeri itu.

“Berlaku peningkatan jumlah mangsa di dua pusat pemindahan di daerah Johor Bharu, Johor iaitu di SK Kampung Pasir dan SK Skudai Batu 10, manakala di kawasan Melaka Tengah, Melaka pula adalah di SK Ayer Molek.

“Tiada peningkatan jumlah mangsa banjir dilaporkan di tiga pusat pemindahan di Perak dan enam pusat pemindahan di Selangor,” menurut sumber Sekreteriat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Berdasarkan tinjauan situasi yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak dua kawasan masih kekal berada dalam zon bahaya (Merah) walaupun mengalami penurunan paras air iaitu di Sungai Ketil, Kuala Pekan Baling, Kedah (35.91m) dan Sungai Kerian di Selama, Perak (13.21m).

“Lima kawasan berada dalam zon waspada (Kuning) mengalami kenaikan paras air iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, Johor (19.75m); Telok Rimba, Jasin, Melaka (3.18m); Sungai Langat di TNB Ponsoon, Hulu Langat, Selangor (133.08m); Kolam Sungai Dondang Timur Laut, Pulau Pinang (20.15m) dan Sungai Gemencheh di Empang Sungai Dua, Tampin (38.57m) serta Sungai Serting di Serting, Ulu Jempol (73.52m) di Negeri Sembilan.

“Hanya dua kawasan yang berada dalam zon waspada yang mengalami penurunan paras air iaitu di Sungai Bata di Padang Pasir, Kubang Pasu, Kedah (21.69m) dan Sungai Plus di Kampung Sungai Lintang, Kuala Kangsar, Perak (54.63m) manakala paras air kekal di kawasan Sungai Bernama di jambatan SKC Hulu Selangor, Selangor (18.71m),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memaklumkan penutupan jalan di kawasan ladang kelapa sawit Jalan Selama, Kerian, Perak pada laluan FT147 pada jam 10 pagi tadi.

“Buat masa ini, hanya kenderaan berat yang dibenarkan menggunakan laluan alternatif melalui A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu ke Bukit Merah dan dari Bukit Merah ke Changkat Lobak,” katanya.

LAPORAN TERKINI KEJADIAN BENCANA DI SELURUH NEGARA (pada jam 8:00 AM, 23 November 2020)

Posted by Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri on Sunday, November 22, 2020