Polis beri amaran tindakan tegas pihak cuba takutkan penduduk

Laporan portal Sinar Harian mengenai misteri ketukan pintu di rumah penduduk.
Laporan portal Sinar Harian mengenai misteri ketukan pintu di rumah penduduk.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menakut-nakutkan penduduk berikutan kejadian tular ketukan pintu yang mengganggu penduduk beberapa kampung di daerah ini pada waktu malam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pesalah yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan kerana mengundang ketakutan dan kegusaran kepada orang awam.

"Individu atau pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atau Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Agus Salim berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang pemimpin peringkat kampung yang mendakwa rumahnya diganggu sebanyak dua kali termasuk 24 rumah penduduk di kampung terbabit.

Katanya, laporan diterima pada jam 4.30 petang semalam dan siasatan sedang dijalankan.

"Mangsa mendakwa ketukan pintu berlaku dari 18 November lalu hingga semalam bermula dari jam 11 malam dan berlarutan sehingga jam 6 pagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dengar bunyi ketukan tapi tiada pelaku dalam CCTV'

Misteri ketukan pintu terus hantui penduduk Sabak Bernam

Artikel Berkaitan:

Misteri ketukan pintu hantui penduduk